pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

Apa sebelum amal

Kadang-kadang, ada suatu masa kita berasa kurang bersemangat untuk beramal. Macam-macam perasaan timbul dalam hati, ada letih, ada jemu, ada putus asa, bahkan sampai rasa benci dengan apa perbuatan yang diusahakan selama ini.

Terutamanya untuk berdakwah. Sampai suatu masa, boleh berasa seolah-olah dakwah yang dilakukan tak pernah berhasil.

Semuanya seperti sia-sia sahaja. 



Namun, betulkah begitu?

Perasaan ini, kalau anda tak selalu merasakannya, saya sendiri sering sangat berasa. Letih betul bila datangnya rasa macam ini.

Sebelum ini, sekitar dua tiga bulan lepas, di blog saya ini bila saya kemaskini dengan satu artikel baru, hampir pasti akan ada sekurang-kurangnya dua tiga komen yang ditulis oleh pembaca.

Walaupun sedikit, saya sangat menghargai.

Namun, sejak akhir-akhir ini, komen-komen itu seakan menghilang. Seolah-olah tiada yang membaca tulisan-tulisan saya.

Saya jadi kurang semangat menulis. Entahlah, tak tahu mahu gambarkan macam mana. Tapi perasaan itu memang saya rasakan.

Fikir punya fikir, akhirnya saya bincang dengan seorang rakan. Saya ceritakan tentang apa yang saya rasakan.

Dipendekkan cerita, kemudiannya dia memperingatkan kepada saya dengan beberapa perkara. Terutamanya tentang tujuan, tentang niat saya menulis di blog ini.

Ketika itu saya tersedar. Apa sebenarnya tujuan saya menulis? Adakah hanya untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa saya ini tahu? Atau supaya bila dibaca orang, akan dikatakan mereka bahawa Naimul Firdaus ni rajin betul menulis, walaupun tak menarik sangat apa yang dia tulis, tapi benda yang ditulis tu memang baik.

Saya bertanya hanya untuk inikah saya menulis? Kerana manusia dan pandangan mereka.

Pasti bukan.

Niat hanyalah kerana Allah

Sepatutnya yang menjadi tujuan saya, yang mengakibatkan saya berusaha di jalan ini, yang selalu menjadi motivasi saya untuk rajin menulis sepatutnya adalah redha Tuhan. Bukannya pandangan manusia, bukannya kata-kata mereka.

Saya jadi tersedar sekarang bahawa jangan sekali-kali untuk meletakkan pandangan manusia dan kata-kata manusia sebagai motivasi diri. Jangan, jangan dan jangan.

Mahu puaskan hati manusia, sampai bila pun kita tidak akan mampu. Tapi menulis ini, atau apa pun perbuatan yang kita lakukan, yang mesti diletakkan sebagai matlamatnya adalah pandangan Allah dan redha-Nya.

Dengan ini baru kita akan rasa cukup. Tuhan akan bantu kita selepas itu bagaimana yang sepatutnya kita lakukan.

Kalaulah amalan yang dilakukan bukan kerana Dia, pastilah Dia tidak akan pandang lagi. Amalan itu akan menjadi tidak lebih daripada debu yang berterbangan. Pernah lihat debu? Maka macam itulah amalan yang dilakukan bukan kerana Allah.

Makanya, sebelum beramal pastikan niat dan tujuan kita tepu dengan hanya mengharapkan pandangan Allah. Memang sukar. Memang payah. Tapi apa lagi boleh buat, kerana yang payah inilah Allah mahu kita persembahkan.

Niat kerana Allah, ganjarannya barulah daripada Allah. Syurga yang Allah janjikan kepada hamba-Nya yang beramal soleh, ia bukannya satu tempat menarik yang biasa. Tetapi sangat-sangat luar biasa.

Dambakan syurga, maka tiketnya redha Allah

Yang diceritakan di dalam Al-Qur’an, syurga itu dihiasi dengan bidadarinya yang sentiasa dara, ditumbuhi dengan pokok-pokok buah-buahan yang sentiasa berbuah, dan dilengkapi dengan tempat rehat lebih indah daripada singgahsana di dunia.

Namun, ini yang dapat kita terjemahkan melalui ayat-ayat Allah. Terjemahan kita sangat-sangat terhad. Bahkan, syurga ini keindahannya jauh lebih hebat dan mengagumkan daripada yang mampu dibayangkan. Apa yang kita bayangkan, ia jauh lebih hebat. Bahkan kenikmatan syurga bagi penghuninya, semakin hari semakin bertambah.

Mahu apa lagi? Memang nyata bodohlah kita jika masih tidak tergiur dengan syurga.

Maka bila mahukan syurga, pastikan niat amalan kita seluruhnya ditumpukan kepada Allah. Biar hanya Dia yang nilai usaha-usaha kita. Biar ibadat-ibadat kita, makan, minum, tidur, riadah, cari ilmu, bekerja, berkeluarga, dan semuanya, biar hanya Allah yang nilai.

Sebelum beramal, semasa beramal, selepas beramal, niatlah kerana Allah. Bukannya dambakan harta, bukan juga tergiur dengan jelingan wanita.

Untuk saya, inilah pil peransang. Redha Allah. Pandangan Allah.

Semoga Allah meredhai saya dan kita semua.


Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk