pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

Dia Tujuan Saya




Dia Tujuan Saya




Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.




MANA-MANA HARI


Hari ini, hati saya kurang enak. Sejak petang tadi semua yang saya lakukan seperti ada yang tidak kena. Duduk salah.Berdiri pun tidak betul. Apatah lagi melompat mahupun terbang!


Hairan.


Semuanya saya sudah lakukan. Saya sudah berwuduk dan membaca al-Qur’an,beberapa helai. Sambil dalam hati berharap jiwa dapat ditenangkan dengannya.


Mudah-mudahan.



Rupa-rupanya saya tidak berjaya. Jiwa masih dengan rasa resah.


Lantas saya meneruskan dengan beristighfar kepada Allah. Usai beristighfar, saya berselawat ke atas junjungan baginda nabi. Banyak juga. Beratus-ratus.


Tetapi, jiwa tetap begitu.


Runsing.


Lalu saya bangun, berdiri dan bertakbir, rukuk serta sujud hingga selesai solat sunat dua rakaat. Kemudian saya berdoa kepada Allah. Minta diberi ketenangan. Kerana ketenangan itu milik-Nya, maka hanya kepada-Nya saya meminta.


Namun, gelora di jiwa tetap dengan kedegilannya. Masih resah dan gundah. Kenapa ketenangan masih belum kunjung tiba?




Akhirnya saya pasrah. Mungkin ada lain yang Dia ingin saya lakukan.


Saya bangun, berjalan menuju rak buku dan mencapai pena serta kertas. Dalam hati mula tersenyum. Mungkin di sini ubatnya. Siapa tahu.


Lalu saya duduk, menghadap kiblat. Kemudiannya menghamparkan kertas sambil melabuhkan mata pena di muka kertas.


Diam.








APA TUJUAN SAYA?





Setelah diam, tenang kemudiannya datang. Walau datangnya sedikit-sedikit.


Selesai.






Nanti.


Apa perbincangan kita kali ini?


Perbincangannya ialah apa tujuan kita. Ke mana kita dan setiap perbuatan kita dihalakan.


Lalu kita menjawab mudah, Allah tujuan saya. Dia menciptakan saya, memberi saya segala nikmat dan semua peluang. Sedar mahupun leka. Pasti, juga lalai.


Dan kita pasti akan kembali kepada-Nya.


Namun.


Mengapa setelah kita bertungkus-lumus melakukan amalan, ketenangan masih sukar dimiliki? Malah kebahagiaan menjadi semakin jauh? Resah juga yang setia menemani.


Jawapannya ada dalam diri setiap kita.


Mari kita teliti dan memuhasabah diri masing-masing.


Kita berwuduk, yang dengan wuduk itu kita membersihkan semua anggota wuduk daripada segala daki dan kotoran yang melekat. Baik di muka, tangan, kaki, mahupun bahagian-bahagian wuduk yang lain.


Namun berapa ramai daripada kita yang pada wuduknya itu dia membersihkan hatinya?


Menyucikan hatinya daripada segala mazmumah yang menggelapkan?


Membuang riya’.


Menyingkir hasad.


Dan melempar takbur.


Lalu mengisi pada kolam hatinya itu dengan basuhan iman dan jirusan ehsan.


Sepenuh mungkin.


Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
"Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari akhirat nanti dalam keadaan putih berseri pada anggota wuduk kesan daripada wuduk."


Kemudian kita mengalunkan bacaan al-Quran, tanpa ada rasa takut dan harap daripada Allah walau sedikitpun. Iaitu takut dengan ancaman yang yang Dia sediakan kepada orang yang angkuh daripada mentaati-Nya.


Dan berharap kepada segala janji dan pertolongan-Nya untuk hamba-Nya yang meminta.


"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau
melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan
(ingatlah)
."
(Surah Al-Hasyr 59: Ayat 21).


Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
"Sesunguhnya Al-Quran diturunkan dalam keadaan dukacita, maka apabila
kamu membacanya hendaklah kamu merasakan kedukacitaan tersebut."

(Diriwayatkan oleh Abu Ya'la dan Abu Nu'aim).




Lalu kita berselawat dan beristighfar. Sedang selawat kita hanya hadir pada bisikan bibir malah istighfar kita tidak lebih daripada sekadar gerakan lidah.


Di mana penghayatan zikir?


Ke mana hilangnya keagungan Ilahi dan kemuliaan kekasih-Nya?


Tidakkah kita berasa Dia sedang memerhatikan kita?

"Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan
tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada
yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada
bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan
memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
"
(Surah Al-
Mujadalah 58: 7)


Tidakkah kita sedar?




Selepas itu kita bersolat. Dan dengan cara kita sendiri.


Sedangkan solat itu merupakan penghubung antara si hamba dengan penciptanya.


Solat yang di awalnya terdapat takbir yang bermaksud membesarkan Si Pencipta daripada segala sesuatu. Juga solat yang di dalamnya terdapat tasbih dan segala jenis pujian kepada-Nya.


Namun kita masih lalai.


Leka daripada peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

"Allah s.w.t tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang
mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya.
"
(Hadith ini
diriwayatkan juga oleh Abu Mansur Ad-Dailami dlam “Musnad Al-
Firdaus” daripada Ubayy Ibn. Ka’ab dan sanadnya da’if.)

"Berapa ramai orang yang mengerjakan sembahyang, habuan yang ia terima
hanyalah penat dan lelah."
(Hadis Riwayat Al-Nasa'i)


Berkata 'ulama':
"Sembahyang itu adalah urusan akhirat, maka kamu masuk menunaikannya
(bererti) kamu telah keluar dari dunia."




Al-Hassan Al-Basri meriwayatkan:
"Setiap sembahyang yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia adalah lebih
hampir kepada seksaan.


Jadi mari kita bertanya kepada diri.


Apa tujuan kita sebenarnya?


Jika untuk Dia yang menciptakan kita, kenapa kita tidak menghadirkannya dalam ibadat-ibadat kita?


Mengapa dunia yang sementara ini yang sibuk mengisi kekosongan jiwa kita?


Mengapa dunia yang hina ini dan bukannya Dia Yang Maha Perkasa?




SUDAH SAMPAI MASANYA







Sesudah kita bertanya kepada diri, marilah kita sama-sama merenung.


Bahawa sebenarnya Allah taala telah lama menyoal, mengapa kita tidak pernah khusyuk dalam menyembah-Nya.

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka)"
?


Bahkan kemudiannya Dia menambah dalam ayat yang sama,

"dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."

(surah al-Hadid ayat:16)


Maka marilah bersama-sama, kita membetulkan niat-niat kita. Bahawa kita beribadat dan merendahkan diri hanya kepada-Nya.


Dia yang menjadikan kita daripada tiada kepada ada.


Dia yang memberi ketika kita meminta.


Juga Dia yang menerima ketika tiada yang mahu menerima.


Dan kita merendah diri serendah-rendahnya, di hadapan Dia Yang Maha Tinggi.


Supaya nantinya kita dapat menjawab,

telah berlalu masa bagi kami,orang-orang yang beriman bahawa kami menundukkan hati-hati kami mengingat-Mu,dan kepada kebenaran yang telah turun kepada kami.



Aminn…

Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk