pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

korban setiap hari


Apabila menyebut tentang Hari Raya Aidiladha, terdapat beberapa potong ayat al-Qur’an yang saya rasakan amat berkait rapat dengannya. Ayat-ayat ini adalah apa yang terkandung di dalam sebutan kita saban hari, yang kita bacakan di dalam Iftitah solat.




"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)". (Al-An'aam 6:79).




Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An'aam 6:162)

Pada saya ayat-ayat ini sangat berkait rapat dengan kisah sejarah Aidiladha yang sedang kita rayakan hari ini.



Bagaimana?
rujuk gambar di sini




Begini, umum mengetahui bahawa sejarah Hari Raya Aidiladha adalah intipati daripada kisah korban Saiyidina Ibrahim yang mahu menyembelih anaknya sendiri, Ismail Alaihissalam.

Maka sebelum kita sampai kepada kisah penyembelihan yang sangat mengharukan jiwa ini, mari kita berkenalan dahulu dengan Sang Ayah, Ibrahim yang sanggup menyembelih anaknya lantaran mendapat perintah daripada Tuhannya.

Ringkasnya, Ibrahim adalah salah seorang daripada utusan Allah untuk menyeru umat manusia supaya mentauhidkan Allah. Saiyidina Ibrahim juga termasuk daripada 5 orang rasul Ulul Azmi yang diakui kesabaran mereka. Bahkan lebih daripada itu, Nabi Allah yang seorang ini dikenali sebagai bapa para nabi.

Dibesarkan di dalam masyarakat yang menyembah berhala, Ibrahim yang langsung tidak dapat menerima perbuatan kaumnya ketika itu lantas mencari erti ketuhanan yang sebenar di dalam kehidupannya.

Akhirnya baginda berjumpa dengan hakikat Pencipta yang sebenarnya. Pencipta yang wujud-Nya tiada mula, juga Pencipta yang tiada akhir pada zat-Nya. Itulah Allah SWT.


"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)", itulah kata-kata Nabi Ibrahim yang Allah rakamkan di dalam Surah Al-An’aam pada ayat ke 79 sebaik sahaja baginda bertemu dengan sinaran cahaya Ilahi yang menjadi matlamat pencarian makna kehidupannya selama ini.

Bertitik-tolak daripada itulah kehidupan baginda sebagai seorang yang mengesakan Allah bermula.


Setelah mengetahui sejarah ringkas ini, kita kembali semula kepada perbincangan asal, iaitu pada meneliti kisah sejarah penyembelihan yang agung ini.

KEIMANAN YANG DIUSAHAKAN

Tidakkah kita pernah berfikir bagaimana Nabi Ibrahim tergamak untuk menyembelih anaknya sendiri?

Anak yang berpuluh tahun baginda nantikan dengan sabar akan kelahirannya. Ismail ini adalah seorang anak yang cukup sifat lahiriah, bahkan terpuji pula batiniahnya. Anak yang sebegini sempurna, bagaimana sehingga ayahnya sendiri sanggup untuk menyembelihnya?

Tidakkah kita pernah berfikir?

Jika diteliti, keimanan Nabi Ibrahim bukan sahaja sekadar baginda sanggup mengorbankan dirinya. Malah jauh daripada itu baginda rela pula menyediakan anaknya yang tersayang untuk disembelih sedangkan ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk difikirkan tentang kesanggupan seorang ayah untuk membunuh anaknya sendiri.

Di manakah rahsianya? Apakah rahsia keimanan Nabi Ibrahim sehingga dia layak memiliki keimanan yang begitu tebal?

Rahsianya adalah pada bentuk keimanan dan penyerahan diri yang baginda perolehi. Ibrahim, sebelum menemui hakikat ketuhanan yang sebenar, baginda sentiasa mencari siapakah Tuhannya dan di manakah Tuhannya hinggalah akhirnya baginda menemui hakikat ketuhanan yang dicarinya itu.

Kata kuncinya adalah pada perkataan mencari. Iman yang baginda cari, sama sekali berbeza dengan jenis Islam warisan seperti yang kita miliki kerana pencarian itulah yang telah melayakkan baginda untuk mempunyai iman sekental itu.

Maka tidak hairanlah Nabi kita Muhammad SAW berpesan kepada para sahabatnya supaya sering memperbaharui iman. Malah para sahabat mengambil peringatan Nabi SAW untuk diamalkan dalam kehidupan mereka sehingga apabila mereka bertemu, bukan lagi khabar kesihatan yang ditanyakan, tetapi khabar keimanan!

PENGORBANAN YANG DIDASARI CINTA
  
Tidak sekadar mencari erti ketuhanan dan mengaku beriman, Nabi Ibrahim kemudiannya diuji supaya keimanannya itu benar-benar diiktiraf.

Yang mengiringi kekuatan imannya itu adalah rasa cinta baginda kepada Allah.maka rasa cinta itulah yang memberikan baginda upaya untuk menyembelih anak sendiri.

Cinta yang dalam bahasa sekarang kita menyebutnya sebagai Cinta Ilahi.

Cinta yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim adalah cinta hakiki yang tiada tanding taranya. Cinta baginda itu melepasi semua kepentingan cinta yang lain, termasuklah cintakan anak. Tidak hairanlah baginda digelar Khalilullah.

Cinta hidup dan mati. Pada baginda, seluruh hidup baginda adalah untuk Allah yang baginda cintai. Maka apabila Allah mengkehendaki baginda untuk tidak lagi hidup, maka itulah yang akan baginda laksanakan. Ini adalah menepati bacaan kita dalam Iftitah solat yang diambil daripada surah Al-An’aam, ayat ke 162 yang maksudnya:

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Bunyinya seolah-olah begini, ‘aku hidup untuk Allah, maka apabila Allah mengkehendaki aku mati, itulah yang sepatutnya aku lakukan’.

Maka jelaslah pada kita bahawa pengorbanan demi cinta bukanlah sesuatu yang biasa-biasa, sebaliknya pengorbanan demi cinta ini membabitkan semuanya, hatta yang paling berharga iaitu nyawa, sendiri mahupun orang lain.

KORBAN SETIAP HARI

Pada saya, cukup untuk dinyatakan bahawa dua inilah yang menjadi inspirasi kepada Nabi Ibrahim untuk melaksanakan upacara korban anak tersebut. Beriman kepada Allah dan rasa cinta juga kepada Allah.

Lantas dua perkara ini sering sekali diulang-ulang dalam banyak ayat-ayat Allah di dalam Al-Qur’an, juga disebut-sebut oleh Rasulullah di dalam hadis-hadis baginda.

Bahkan, demi mengangkat martabat iman dan cinta kepada Allah yang Nabi Ibrahim miliki, disyariatkankan kepada kita ummat Muhammad akan perayaan Aidiladha yang sangat agung ini.

Namun intipati daripada iktibar korban ini diperingatkan kepada kita setiap hari, sekurangnya 5 kali siang dan malam iaitu dalam solat kita melalui Iftitah solat yang kita bincangkan ini.

Apakah maksudnya?

Maksudnya adalah setiap hari yang kita dirikan solat di dalamnya maka di sana terdapat peringatan dan pengulangan kisah penyembelihan ini. Gunanya adalah supaya kita sebagai hamba Allah ini berasa terpanggil untuk juga berkorban kerana-Nya.

Maka inilah masanya untuk kita mempersoalkan diri sendiri. Sudahkah kita korbankan harta, korbankan masa, korbankan tenaga, korbankan jiwa dan segala-galanya untuk Allah SWT?

Bukankah kita juga mengaku beriman dan mencintai-Nya?

Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk