separuh gelas masih ada
Anda terluka. Lalu anda tanpa segan silu mengalirkan titisan permata jernih. Bertali-tali air itu membasahi pipi dan bibir.
Itu belum dikira pedih di hati yang melecur. Hanya sesak dan pilu yang mencucuk-cucuk segenap sendi rasa. Tanpa iman yang padu, pasti Tuhan sudah disumpah seranah.
"Sedih?" Lembut desis suaranya.
Anda buat tak tahu. Tak nampak pun boleh.
"Mahu dengar cerita?"
Kali ini anda mendongak.
"Ini cerita bahagia". Mata anda makin membulat.
"Cerita bahagia bukan untuk saya." Anda pura-pura.
"Ok, takpalah." Kopi Radix yang tinggal separuh gelas dituang, membanjiri pinggan yang bersisa kari ikan.
"Kenapa tuangkan air? Saya belum habis minum." Anda meninggi soal. Terkejut lebih pasti.
"Bukankah cerita bahagia bukan untuk kamu." Anda tambah bingung. Apa kaitan cerita bahagia dengan separuh gelas air?
"Itu fikir sendiri." Anda diam.
"Cuma yang saya mahu pesankan, perkara yang lepas biarkan lepas. Hatta itu ialah istana kayangan, semalam hanyalah kenangan." Dia diam.
Kemudian anda lihat dia berpusing meninggalkan anda. Anda lihat juga di belakang bajunya ada sebaris ayat.
'Nikmatilah hari ini.'