pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

mahu mengubah dunia


Antara kisah-kisah motivasi yang saya pernah dengar, terdapat sebuah cerita menarik berkenaan mengubah dunia.


Ceritanya begini, ada seorang pemuda yang sangat bersemangat untuk mengubah dunia. Sejak mula menginjak usia belasan tahun, dia telah menanam hasrat di dalam dirinya untuk mengubah sistem-sistem hidup manusia di dunia ini supaya manusia dapat hidup lebih aman, lebih bahagia.

gambar dari sini

Ketika itu, dia melihat sistem-sistem hidup di dunia ini dipengaruhi oleh gaya dan corak kehidupan di barat. Maka usaha mengubah dunia dimulakannya dengan mengubah masyarakat barat. Dia mula mengumpulkan harta dan tenaga kerana dengan harta dan tenagalah kemampuannya untuk mengubah masyarakat barat meningkat.



Hari demi hari berlalu, bulan juga berganti bulan, akhirnya setelah beberapa tahun berusaha, dia masih belum memiliki bekalan yang cukup sebagai modal mengubah barat. Ketika itu usianya sudah di akhir 30an.


Setelah difikir-fikir, dia akhirnya membuat keputusan bahawa untuk mencari dana mengubah masyarakat barat, beberapa abad pun pasti dia tidak akan mampu melakukannya.


Dia mula mengecilkan skop mengubah dunia yang diidamkannya selama ini. Baginya jika dia tidak mampu mengubah dunia, dia pasti mampu mengubah masyarakat sekeliling. Manusia yang senegara dengannya, yang sejarah bangsa mereka serupa dengan sejarah bangsanya, tentu mengubah mereka tidak sesukar mengubah barat.


Dipendekkan cerita, dia akhirnya membuat keputusan untuk menjadi calon pada pilihanraya umum yang akan datang. Pada tahun yang ditetapkan, setelah mendaftarkan diri sebagai calon ahli perlimen, lelaki tadi mula berkempen agar masyarakat setempat memilihnya sebagai pemimpin.


Sepuluh hari berkempen rupanya tidak cukup baginya untuk meyakinkan masyarakat akan hasrat murni yang ingin diperkenalkannya. Pemuda tadi kalah teruk pada pilihanraya umum tersebut hingga wang pertaruhannya tidak dapat dikembalikan.


Tidak cukup dengan sekali percubaan, lelaki tadi berpendapat bahawa penyertaan pertamanya di dalam pilihanraya kali ini tidak dimenanginya kerana dia belum dikenali masyarakat. Maka dia mengambil keputusan untuk bertanding lagi pada pilihanraya umum yang akan datang. Pada fikirannya, dua, tiga kali menyertai pilihanraya pasti masyarakat sudah mengenali dirinya.


Namun itu tidak juga berlaku. Tiga kali berturut-turut dia kalah di dalam pilihanraya umum. Kini umurnya sudah hampir mencecah 50 tahun.


Dia mula memandang kepada keluarganya. Rumah tangga yang dipimpinnya selama ini rupanya telah teruk berantakan kerana dia terlalu asyik dengan impiannya untuk mengubah dunia. Isterinya sudah lama diceraikan. Anak-anaknya pula kini hilang entah ke mana.


Akhirnya, kerana merasakan tanggungjawab yang masih bersisa, dia merujuk semula dengan bekas isterinya. Anak-anaknya yang berselerakan kerana tidak mendapat kasih sayang seorang ayah pula mula dicari.


Ada anaknya yang ditemui di kelab malam sedang mabuk. Anak yang lain pula ditemui di tepi lorong dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas menghisap dadah. Anaknya yang bongsu pula dijumpai sedang meminta sedekah daripada orang ramai di perhentian bas.


Dia berasa sangat sedih. Setelah berjaya menghimpunkan ahli keluarganya, dia mula menyedarkan mereka tentang cara hidup yang sebaik-baiknya. Seorang demi seorang anaknya dinasihati.


Melentur buluh biarlah dari rebungnya, pepatah melayu ini tepat sekali terkena kepada lelaki tersebut kerana anak-anaknya bukan sahaja tidak menerima nasihatnya, malah mereka membalas bahawa semua yang berlaku adalah disebabkan kesalahan dirinya yang tidak mengendahkan mereka selama ini.


gambar dari sini


Kerana terlalu sedih dan tertekan, lelaki tersebut akhirnya jatuh sakit. Beberapa tahun dia terlantir di atas katil. Akhirnya, pada ulang tahun kelahirannya yang ke 60 tahun, dia mendapat sebuah hadiah daripada seorang teman.


Apabila dibuka, rupanya hadiah tersebut adalah cermin. Dia yang hairan mengapa dia mendapat hadiah berupa sebingkai cermin merenung jauh ke dalam cermin tersebut.


Ketika itulah dia terpandangkan dirinya sendiri. Dia melihat rambutnya sudah memutih dipenuhi uban. Kulitnya pula sudah kendur dan berkedut-kedut. Dia terkenang bahawa hingga sekarang tiada seorang manusia pun di dunia ini yang berjaya menerima konsep gaya hidup yang ingin dibawanya.


Dia terfikir bahawa selama ini semua orang tidak dapat menerimanya kerana kehidupannya sendiri tidaklah sebaik mana. Dia langsung tidak memiliki ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan.


Hatinya berkata, ‘kalaulah dulu aku mulakan dengan mengubah sikapku sendiri, pasti dunia kini dalam genggamanku..’


Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk