pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama

Archive for May 2010

gravatar

Countdown & 5 Motivasi (video di dalam)


Kata seseorang, orang yang bijaksana menulis tentang Ilmu, orang yang cerdik menulis tentang peristiwa, orang yang pandai menulis tentang orang lain, namun, hanya yang bodoh menulis tentang diri sendiri.

Kerana itu, cuba, kita kongsikan video di bawah ini, juga ayat-ayat yang saya tulis di bawahnya.                                                                                                                                                                                                                                                                 




Twitter
Facebook
gravatar

Jumaat adalah Hari Kekasih



Bagi saya, Jumaat adalah hari kekasih walaupun bagi orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah hari ini adalah hari perayaan dan pesta. 


Maka tiadalah yang merugikan jika pada hari yang penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah ini kita kongsikan kecintaan ini.


Dan saya terlalu menginginkan sekiranya kecintaan saya ini sampai kepada yang dikasihi oleh semua makhluk. 

                                            moga selawat kita disampaikan kepada kekasih yang dirindui

Saya jamin, dengan kita mengongsikan kecintaan ini, rasa ketenangan, kebahagiaan, kedamaian yang selalu kita cari akan mendekat. Malah membangkitkan rasa kerinduan yang mendalam kepada baginda.


Video yang saya uploadkan ini, saya tujukan khas kepada baginda, Sang Kekasih yang batang pohon tamar juga merintih kerana berjauhan dengan baginda. Malah makhluk-makhluk di langit berdoa kepada Allah supaya baginda dinaikkan kepada mereka.






Namun terjemahan di bawah ini adalah yang saya tulis sendiri. Kalau ada yang kurang tepat bolehlah diperbetulkan nanti. Malah, saya juga tak sempat terjemah semua, maaflah.



Semua hati mencair lantaran terpesona dengan Sang Kekasih,
Semua hati mencair lantaran terpesona dengan Sang Kekasih,
Dan bersamanya aku melihat sebuah penyaksian dan dalil,
Tentang buktinya ketika aku mengingati Baginda Muhammad,
Maka banjirlah air mata para pencintanya.


Inilah dia Rasullullah (pesuruh Allah),
Inilah dia Rasullullah (pesuruh Allah),
Inilah dia baginda yang terpilih,
Inilah dia baginda yang sangat dikasihi Allah.


Al-madad...
Al-madad...
Kesejahteraan ke atasmu wahai pesuruh Allah,
Kesejahteraan ke atasmu wahai kekasih Allah..


Wahai tuhan yang menjadikan perhimpunan kami ini,
Kepada sebuah pengakhiran yang baik,
Dan memberi berkat kepada jiwa-jiwa kami,
Untuk dipersembahkan kepada sebaik-baik ciptaan (khairul anam).


Al-madad...
Al-madad...
Kesejahteraan ke atasmu wahai pesuruh Allah,
Al-madad...
Al-madad...
Kesejahteraan ke atasmu wahai kekasih Allah..


Wahai tuhan kami, kami berdoa kepada-Mu,
dan kami meminta akan keampunan-Mu,
Bantulah kehidupan kami ini dengan pertolongan-Mu,
Dengan keberkatan ke atas baginda Muhammad..


Al-madad...
Al-madad...
Kesejahteraan ke atasmu wahai pesuruh Allah,
Al-madad...

Al-madad...
Kesejahteraan ke atasmu wahai kekasih Allah..

Al-madad...
Al-madad...
Kesejahteraan ke atasmu wahai pesuruh Allah,
Al-madad...
Al-madad...
Kesejahteraan ke atasmu wahai kekasih Allah..



“dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” 
(al-Anbiya’:107) 

Twitter
Facebook
gravatar

Bekal Guna Bertapa


Sepatutnya sekarang blog ini tak perlu ada artikel baru kerana saya sedang bertapa, namun selepas seminggu baru saya teringat bahawa saya ini tidak membawa sebarang bekal pun untuk pergi bertapa.

Lantas saya kembali ke sini untuk mengambil bekal. 

Maka bekalan yang saya mahu ambil adalah artikel di bawah ini. Artikel tentang kekurangan diri saya sendiri supaya di dalam pertapaan nanti saya selalu mengenang kesalahan dan dosa-dosa maksiat yang diperbuat.

Supaya saya selalu malu dengan Tuhan saya nanti.

Pesanan saya kepada diri dan semua semua orang yang dapat sampai isi nasihat saya ini:

Kesilapan orang lain, janganlah difikirkan sangat. Yang penting, kesalahan kitalah yang selalu dikenang-kenang.
                                          Lihatlah Kepada Keaiban dan Kekurangan diri Sendiri


“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Fatihah ayat 1)

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.

Artikel ini saya tulis untuk diri saya, seorang hamba yang bernama Mohd Naimul Firdaus bin Abd Latib. Orang lain tak baca pun tak apa.

Dan kali ini, saya tak kisah menulis panjang kerana artikel ini memang untuk saya.


YANG HANYUT DALAM DOSA

Saya ini, yang selalu menghiaskan roh saya dengan kehodohan dan menjadi sangat buruk adalah maksiat kepada Allah. Yang menyebabkan hati saya hitam dan kotor juga ini, maksiat yang hanyir dan berlekit-lekit.

Akhirnya, saya jadi jauh dari khusyuk kepada-Nya. Solat saya jadi hanyut, bacaan al-Qur’an saya banyak lalai, tiada sebarang penghayatan. Ibadah-ibadah saya semua jadi hancur. Rosak dan musnah begitu saja.

Semuanya kerana ini, dosa-dosa maksiat yang menggelapkan.

Mengenangkan dosa-dosa dan maksiat ini, saya selalu mengajak mata saya menangis. Namun saya tidak mampu. Hati saya memang kotor. Pancaran iman dan suluhan takwa masih malap di hati saya.

Saya selalu lupa bahawa Allah yang Maha Penyayang itu, suatu hari Dia akan melepaskan kemarahan-Nya tanpa dapat ditahan.



YANG MAHU REDHA ALLAH

Sebenarnya, yang paling saya mahu dalam seluruh kehidupan saya adalah kebahagiaan. Kebahagiaan semasa hidup di dunia, juga kebahagiaan apabila hidup di akhirat yang kekal, abadi.

Yang saya tahu, mendapat kebahagiaan hanyalah selepas mendapat redha Allah. Tanpanya, kebahagiaan, kesenangan, keamanan yang disebut-sebut hanyalah cakap-cakap kosong yang tidak kukuh.

Namun, mahu dapatkan redha ini saya rasakan sukar betul. Hendak buat perkara yang hujungnya terletak redha Allah ibarat menggenggam bara api, mahu dilepas ia jatuh terpadam, terus dipegang tentulah membakar tangan.

Sahabat-sahabat nabi yang mulia, ulama-ulama salaf dan khalaf, malah tokoh-tokoh yang terkini juga, mereka akan benar-benar gembira apabila tikaman pedang-pedang tajam menebusi dada dan memutuskan tengkuk mereka.

Yang mati akibat kepala dibenam peluru-peluru pistol tidak bermata, dan yang berakhir nyawa di tali gantung, mereka ini menghadiahkan kita dengan hadiah yang sangat mahal, iaitu sebuah senyuman yang membakar.

Semua itu kerana mereka mendapat nusrah daripada Allah. Jalan hidup mereka tersuluh cerah. Mereka nampak dengan jelas bahawa syurga dan redha Allah sedang menantikan ketibaan mereka.

Akhirnya mati menjadi penghubung yang menyambungkan mereka dengan kecintaan mereka itu.

Seperti yang saya sebutkan, motivasi mereka adalah redha Sang Pencipta.

Mereka itu tahu bahawa bahagia hanya selepas redha Dia.


YANG MELIHAT HATI

Saya ini,yang saya dapat sebutkan adalah periharalah hati. Lunakkan dan gemburkanlah (kalau perlu gempur) supaya hati menjadi bersih semula.

Hati saya ini adalah tempat dipandang Allah, saya percaya itu.

Seluruh amalan saya, setiap satunya dikira hanya selepas hati saya tepu dengan ikhlas. Yang disalut riyak, atau yang terpalit sombong, malah yang disentuh bangga, semua ini apabila saya persembahkan di hadapan Dia, pasti tidak lagi bermakna.

Hanya kosong dan tiada apa yang tinggal.

Saya takut sebenarnya. Walaupun di dasar hati saya terdapat harapan bahawa Allah itu memang Maha Pengampun, tapi itu tidak bermakna saya boleh bermain-main dengan Dia!

Dengan amalan yang mahu ditunjukkan kepada manusia, dan yang dilakukan untuk kelebihan dunia, semua itu menghilangkan nilaian-nilaian Allah. Seolah-olah saya ini bermain-main dengan suruhan-Nya.

Dan saya mahu sebut lagi, hati yang saya selalu lupa jaga ini, inilah tempat dipandang Allah.


DIRI SAYA INI

Yang di atas ini adalah untuk diri saya. Saya khaskan kepada jasad saya yang sedang memandu kenderaan amal, sebagai pengendali nafsu yang selalu merosak, untuk membawa roh menemui Tuhan-Nya.

Sebab itu saya kata orang lain tak baca pun tak apa.

Saya ini tidak seperti baginda nabi. Baginda Muhammad sallallaahu ‘alayhi wasallam di akhirat nanti menangis teresak-esak kerana risaukan tentang umatnya. Yang baginda sebut-sebut di akhir nafas baginda juga tentang mereka inilah, umatnya yang selalu lupa kepadanya.

Saya pula hanya pentingkan diri saya. Jika saya dapat selamat di akhirat nanti, saya sudah rasa bahagia. Peduli apa dengan orang lain. Mereka juga sedang sibuk dengan kecintaan mereka.

Cuma yang saya kisahkan, mereka ini ada yang beriman. Mereka percaya kepada tuhan sebagaimana saya percaya. Mereka kasih kepada baginda nabi sepertimana saya kasih kepada baginda. Jadi saya mahu mereka selamat juga.



SAYA MAHU KELUAR

Akhirnya, yang mahu saya sebut juga, saya mahu keluar dari dunia ini. Apa jalan pun saya tak kisah lagi. Yang penting saya dapat keluar.

Dunia ini banyak meresahkan saya. Kecintaan saya yang patut ditumpahkan kepada Dia, akhirnya tertumpah kepada dunia.

Kepada dunia, kamu dengar sini, saya bosan dengan kamu. Saya hendak keluar. Saya harap kamu jangan ganggu saya lagi.

Bolehkah begitu?

Gilakah saya kalau bercakap dengan dunia?

Jawapannya tidak. 

Saiyidina Ali Karamallah Wajhah juga pernah menghalau dunia. Bezanya dunia datang kepada beliau dengan rupa manusia, saya ini dunia datang tanpa merupai sesiapa, tetapi dengan rupanya yang sebenar.

Wajah dunia yang sebenar tetapi saya selalu buat-buat tidak kenal.

Dunia, kalau kamu tidak mahu pergi, saya yang akan menjauh dari kamu.

Dengan seluruh daya saya (kalau ada), dipimpin petunjuk ilmu dan rahmat Allah.


“... sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),” (surah at-Talaaq ayat 2)

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at- Talaaq ayat 3)

Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk