pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

Istimewa hari bapa - tiket ke syurga

 “Saya sudah mengarahkan pembantu kewangan saya mengira semua jumlah kewangan termasuk segala khidmat keselesaan yang pernah kamu berdua berikan kepada saya selama ini. Menurut perkiraannya, semuanya berjumlah tidak lebih daripada RM 500 000.” Kata seorang pemuda pengurus syarikat perkapalan terkenal.

“Jadi, di tangan saya ini ada sehelai cek bernilai RM 1 000 000, juga sebuah kunci banglo mewah di Kota Indera yang dilengkapi dua orang tukang masak dan pembantu rumah. Saya akan arahkan pemandu saya menghantar kamu berdua ke sana dan kereta itu bersama pemandunya juga saya hadiahkan.” Pemuda itu menambah.

“Ibu dan ayah boleh ambil cek serta kunci ini sebagai ganti kepada semua jasa kamu membesarkan saya selama ini, dan saya harap mulai hari hubungan antara kita selesai.”

Ibu bapa pemuda tadi yang mendengar berpandangan sesama sendiri. Mereka melopong. Terkejut.


Soalan saya, boleh selesaikah hubungan yang dimintanya itu?

Tidak Akan Selesai

Jawapannya, pasti tidak akan selesai walau berapa juta ringgit sekalipun yang dibayar kerana hubungan antara ibu dan ayah dengan anak mereka ini, yang mengikatnya adalah kasih dan sayang yang tercipta melalui darah yang tumpah.

Maka, hakikatnya adalah, ikatan perhubungan ini tidak akan mampu dileraikan sekalipun yang menjadi bayarannya adalah darah.

Nilai hubungan ini sebaliknya adalah nilaian yang layak untuk mendapatkan syurga Allah.

Suatu hari Nabi kita Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) secara tiba-tiba menyebut celaka sebanyak tiga kali.

Para sahabat yang terkejut mencelah, “siapa yang celaka wahai nabi?”

Maka jawab baginda, Orang yang mempunyai ibu bapa yang sudah tua, namun mati tetap masuk ke dalam neraka”.

Melalui sebuah hadis yang lain, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata yang maksudnya:

"Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: "Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?" Maka Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Mensyirikkan Allah." Dia (orang Arab itu) berkata lagi: "Kemudian apa?", Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Kemudian menderhaka kedua ibu bapa ..." (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain lagi dinyatakan bahawa orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya tidak akan mendapat perlindungan pada hari kiamat. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : 

"Tiga golongan yang tidak dipandang oleh Allah ‘Azza wa Jalla pada hari kiamat: orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang menyerupai seperti lelaki dan orang yang dayus..." (Hadits riwayat An-Nasa'ie, Al-Bazzar, al-Hakim).

Jangan Derhaka Dengan Mereka


Derhaka kepada ibu dan bapa, seperti yang disebutkan di dalam al-Qur’an, bukan semestinya kita menyakiti jasad mereka. Tetapi yang disebut adalah jangan berkata kepada mereka sekalipun ungkapan ‘uh’.

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (Surah al-Israa ayat 23)

Agaknya kita ini berapa jenis ungkapan yang pernah terucap dari bibir kita.

Malah sekiranya kita memerhatikan ayat di atas ini dengan baik, seperti kebanyakan ayat yang lain, Allah menggandingkan amalan berbuat baik kepada ibu bapa selepas daripada Dia melarang kita daripada mensyirikkan-Nya. Menggambarkan betapa tingginya martabat mereka.

Pengajaran apakah lagi yang masih kita tunggu-tunggu?

Adakah kisah sahabat nabi, Alqamah yang kesukaran untuk melafazkan kalimah tauhid ketika menghadapi sakaratul maut akibat mencalarkan hati ibunya tidak cukup untuk mendidik kita bahawa tiada lagi tolak ansur jika kita menyakiti hati mereka, ibu dan bapa kita ini?

Bagaimana pula dengan kisah Juraij? Ahli ibadah yang dipukul separuh mati akibat tidak menyahut panggilan ibunya sedangkan Juraij ketika itu sedang solat sunat, satu perbuatan yang secara umumnya dikira sebagai kebajikan di sisi agama.

Namun kerana menjawab panggilan ibunya itu lebih utama daripada segala perbuatan sunat dan wajib, maka dia diberi pengajaran ini, iaitu dipukul setengah mati kerana dituduh berzina.

Moga-moga Allah lapangkan hati kita untuk memahami agama-Nya ini dengan sebaik-baiknya.


Hubunglah Dengan Mereka dengan Hubungan Yang Paling Erat

Hari ini adalah hari Ahad ketiga bagi bulan Jun, maka bagi Negara Malaysia dan negara-negara yang sama dengannya, hari ini diisytiharkan sebagai ‘hari bapa’. 

Namun hari bapa ini sebenarnya tidak menunggu diisytiharkan untuk kita menyambut dan memuliakan mereka.

Kerana mereka ini adalah modal terbesar untuk kita meraih redha Allah. Mengabaikan ibu bapa bererti kita sengaja menempah kemurkaan-Nya. Dan menempah murka maknanya menyediakan diri untuk disimbah api neraka.

Mengenangkan semua ini, apa kata kita insafi kesalahan diri selama ini. Sedarlah bahawa setiap satu kedukaan yang kita timbulkan di dalam hati mereka, maka itu sudah mampu untuk menghapuskan seratus kegembiraan yang kita berikan sebelumnya.

Hendak mengucapkan sayang kepada teman wanita cukup mudah, malah tetap mahu disebut walaupun dilarang. Tapi mengapa untuk melafazkan cinta kepada mereka yang membesarkan dan mendidik kita menjadi manusia seperti sekarang ini kita tidak mampu lakukan?

Yang kita tunggu adakah detik masa yang ketika itu mereka sudah tidak dapat mendengar? Ataupun sehingga masanya lidah kita yang disekat daripada berbicara?

Masa tidak menunggu kita, sebaliknya ia berlari dan kita sepatutnya mengejarnya. Namun kerana kealpaan kita, masa itu selalu jauh meninggalkan kita.

Maka masa yang berbaki sedikit ini, apa kata jangan kita sia-siakannya. Ibu bapa kita yang berada di kampung atau di mana sahaja, marilah kita limpahkan kasih yang padu ini kepada mereka.

Marilah segera kerana syurga sedang memanggil-manggil penghuninya. Salah satu tiketnya adalah berbuat baik kepada ibu dan bapa.

Kita tidak mahu kemurkaan kepada Allah kerana kita semua tahu, ganjaran kemurkaan-Nya adalah hidangan simbahan air yang mendidih, dan dihumban ke dalam neraka jahanan yang menggelegak.



Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk