Istimewa Valentine - Cinta Qani'ah
Istimewa Valentine - Cinta Qani'ah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.
Hari ini saya ingin menyebutkan tentang cinta yang saya berasa terlalu lemah untuk membicarakannya.
CINTA ABADI
Makin membara api cintaku
Kaulah yang satu kaulah cintaku
Tak mungkin lagi berubah hati
Cinta yang suci cinta abadi
(BLACK ROSE-CINTA ABADI)
Ada orang yang menyebut bahawa tiada yang lebih indah dalam hidup ini melainkan apabila mengetahui dirinya dicintai oleh insan yang selama ini didambakannya.
Baginya itulah puncak kebahagiaan.
Baginya juga,di situlah aspirasi kecemerlangan.
Hingga dia menganggap hidup tanpa cinta manusia adalah hidup yang tidak sempurna.
Hidup yang cacat.
Hidup yang tercela.
Padanya,cinta abadi itu adalah cinta yang sedang dia nikmati sekarang.
Namun, saya mengajak diri berfikir,di manakah benarnya tanggapan yang seperti itu?
PEMILIK CINTAKU
Untuk memahami perkara ini,saya mengajak anda menelaah novel karangan Fatimah Syarha Mohd Nordin,PEMILIK CINTAKU setelah Allah dan Rasul.
Ini bukanlah novel cinta murahan seperti karya picisan lain yang bersepah di pasaran kita sekarang,sebaliknya novel ini mengkisahkan betapa kedudukan cinta itu sebenarnya amat mulia dan indah sekiranya kita meletakkannya di tempat yang betul iaitu dengan mensyaratkan redha Ilahi sebagai tunjang mencari kebahagiaan.
Berikut saya sediakan sedikit ulasan untuk renungan kita bersama.
Novel ini mengisahkan watak utamanya,Qani’ah yang menceritakan kehidupan remajanya sebagai seorang gadis muslimah yang diminati oleh ramai jejaka sehinggalah dia bergelar isteri kepada seorang doktor.
Juga diceritakan rencah kehidupannya sebagai seorang isteri yang berusaha menjadi muslimah yang solehah demi membahagiakan si suami tercinta.
Cerita dimulakan dengan watak utama,Qani’ah yang menyelongkar kisah hidupnya apabila dia terkenangkan zaman remajanya yang mirip kisah Khazinatul Asrar,iaitu watak utama novel SEINDAH MAWAR BERDURI karangan penulis yang sama melalui kata-kata Khazinatul Asrar;
‘Saya mula bertanya diri, apakah yang telah angan-angan berikan dalam hidup saya? Hanya kegagalan…dan cinta lah punca angan-angan. Saya mula rasa keliru dengan dunia cinta walaupun ianya cuma berlegar di sudut hati. Bukan secara zohir. Saya tak pernah terjemahkannya. Tapi hatilah yang menjadi raja, pemberi arahan kepada seluruh anggota badan. Saya bertanya lagi, bersihkah hatiku ini? Layakkah hatiku ini untuk menadah nur ilmu kerana ilmu itu adalah cahaya dan cahaya takkan menembusi hati yang berbuat maksiat.’
Kemudian barulah penulis secara langsung menceritakan kisah Qani’ah yang menarik ini.Ia bermula dengan penulis menceritakan cabaran yang dihadapi Qani’ah semenjak usia menginjak remaja pada muka surat 7:
‘Melangkah ke alam universiti,beberapa orang bekas pelajar sekolahku mulai berani mencuba demi menawan takhta hati ini.Namun di mataku,mereka hanya menjatuhkan maruah sendiri.’
Penulis secara sinis menyatakan pendapatnya tentang rendahnya kepercayaan gadis muslimah terhadap muslim yang mencuba cinta kaum hawa dengan katanya lagi;
‘Tak kunafikan, mereka sememangnya bukan calang-calang orang.Dulu ketika di sekolah,mereka agak kukagumi.Sayangnya,mereka berusaha merebut cintaku dengan cara yang salah.Aku tak salahkan mereka kerana menyukaiku,kerana itu fitrah.Cuma,tindakan mereka kurang bijak.’
Apa yang menariknya,saya sendiri terkesan dengan idea penulis tentang konsep cinta remaja yang cuba diketengahkan ini.
Ini saya dapati pada muka surat yang sama,penulis secara tidak langsung menyatakan harapannya kepada para pemuda dengan katanya;
‘Tindakan itu memusnahkan harapanku untuk melihat pemuda-pemuda Islam yang penuh wibawa,berkeperibadian mulia dan bijak bertindak dengan jalan yang dianjurkan syariat.Lebih telus dan suci.Lebih menjauhi lembah zina.Pemuda yang membuka lembaran kelalaian padaku,mampukah memimpinku ke syurga?’
Saya seorang pemuda muslim.Maka patut benar untuk saya berasa pesanan ini untuk saya.
Sungguhpun demikian,penulis dapat membawakan Qani’ah sebagai watak seorang gadis muslimah yang cekal hati dan teguh pendiriannya apabila menyebutkan pada muka surat 8;
‘Hatiku cukup teruji dan berbolak-balik.Sememangnya jalan mujahadah jalan yang payah.Aku teguhkan pendirian.Hanya cinta-Nya yang bertakhta di hati,tak boleh dikongsi.Prinsip itu penting untuk aku terus mekar berduri.Diriku masih terlalu awal untuk bercinta,kerana jika mahu memulakannya,perlu pula diambil kira penghujungnya.’
Meskipun penulis secara langsung menafikan perlunya kewujudan cinta remaja yang tidak berlandaskan syarak ini,namun beliau bukanlah seorang yang prejudis terhadap cinta.Sebaliknya beliau mengajak kita sebagai khalayak pembaca merenung diri,benarkah cinta agung yang kita laungkan selama ini benar-benar cinta agung seperti yang sepatutnya?
Bahkan penulis juga tidaklah memandang remeh pada konsep percintaan itu sendiri sepertimana sesetengah pandangan yang wujud hari ini.
‘Hari ini cinta dipandang mengarut dan tidak bermakna. Hari ini, kalau dikatakan cinta, orang akan melihat itu adalah sesuatu yang murah. Jika diletakkan di dalam novel, dikatakan pop. Jika ditulis, dikatakan benda murahan.’
‘Kenapa?’Kerana cinta itu telah dimurah-murahkan dalam kehidupan insan.’
Itulah sebahagian kecil ulasan novel PEMILIK CINTAKU yang dapat saya ulaskan untuk kali ini.
Sebenarnya membaca ulasan ini mungkin tidak membawa anda menghampiri pemahaman yang sebenar tentang idea yang diketengahkan penulis,namun saya sendiri merasakan cukup dengan ulasan ini untuk saya membicarakan tentang isu yang saya ingin bincangkan kali ini.
Saya mencadangkan sesiapa dalam kalangan anda yang mengalami masalah percintaan supaya mendapatkan novel ini.
Sama ada sedang dicintai atau mencintai,dapatkan buku ini.
Anda akan mendapat sedikit sebanyak pencerahan bagaimana untuk menghadapinya.
InsyaAllah.
JANGAN MUSNAHKAN DUNIA INI
Seterusnya, saya ingin mengajak kita semua berfikir,pada hari ini,dunia kita telah benar-benar tercemar dengan cinta yang melalaikan.
Sehinggakan seorang pelajar sekolah rendah yang baru berumur 7 tahun sahaja sudah pernah mendapat sepucuk surat daripada kekasih hatinya,inikan pula remaja lain yang berusia belasan tahun ataupun yang sudah menginjak 20-an.
Tidak sanggup saya membayangkan betapa dahsyatnya kemusnahan-kemusnahan besar yang dibawa oleh mereka-mereka yang mengkhianati kesucian cinta ini.
Siapakah mereka?
Adakah termasuk kita?
Adakah anda?
Adakah saya?
Untuk menjawabnya,bertanyalah pada diri masing-masing.Saya juga adalah insan hina yang terlalu sukar melepaskan diri dari godaan duniawi ini.
Namun di sini saya tetap mahu mengajak.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri.
Meninggalkan cinta palsu yang menghanyutkan.
Dan menuju kepada cinta Ilahi yang penuh kepastian.
“ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)”. (Surah al-Baqarah ayat:165)
p/s:untuk pencerahan tentang valentine klik sini.
Wallahua’lam
SILA NYATAKAN KOMEN ANDA
salam..
satu artikel yg menarik...
tapi bukankah dengan mencintai makhluk yg diciptakan oleh Allah bermakna kita turut mencintai Yg Maha Esa???
kalau silap xtw la........
Saya rasa rabiatul tidak memahami betul betul isi artikel di atas. Apa yang saya faham cinta yang dimaksudkan oleh hamba ilahi tu ialah cinta sesama manusia yang berlandaskan syariat.Komen ini jika cinta lelaki dan wanita yang dimaksudkan.maaf jika saya salah.