Saya Hanya Menulis
Saya Hanya Menulis
Al-Fatihah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)
Alhamdulillah,saya bersyukur kerana diberi peluang menulis di sini.Sudah sekian lama saya berharap untuk menulis di sini.Sejak lama dahulu,iaitu sejak saya mengetahui bahawa saya boleh menulis di sini.Dan sekarang hasrat saya tertunai.
Syukran lillah..
SAYA HANYA MENULIS
Sebagai permulaan pertemuan,saya ingin gariskan beberapa perkara,supaya saya dan anda berasa senang.Supaya tenang,selalu.
Di sini,saya hanya menulis.Tanpa suara untuk memaksa,tanpa tangan buat mencuit sengketa,juga tanpa kaki guna bergerak merata.Apa yang ada hanyalah minda yang siap untuk dicerna,juga hati yang lapang untuk diisi,dan mungkin mengisi (harapnya dapat).Firman Allah (mafhumnya):
“Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?, Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu”
(Surah al-Insyirah: Ayat 1dan 2)
Suka untuk disebutkan di sini bahawa tujuan saya menulis ini adalah untuk meraih redha Allah taala.Kerana jalan untuk merebut redha-Nya itu terlalu luas malah tidak terbatas,maka saya memilih untuk melibatkan diri dalam bidang ini.Bidang yang telah menjadi sebuah wasilah dakwah yang cukup berkesan selama ini.Ditambah pula penulisan yang berorientasikan alam maya menyebabkan jalan ini benar-benar menjadi tumpuan dewasa ini.Lantaran itu saya memilih untuk terlibat,atas niat mengajak manusia ke arah kebaikan.InsyaAllah..
ANDA PEMBACA,SAYA JUGA PEMBACA
Secara umumnya dapat saya sebutkan di sini bahawa menyibukkan diri dengan ilmu terlalu penting dalam hidup kita.Malah terdapat terlalu banyak kalam yang menuntut kita untuk mencari ilmu sebagai bekal untuk hidup kita di dunia yang fana ini.Firman Allah yang mafhumnya:
“Dan tidaklah patut bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); maka, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setiap puak di antara mereka, untuk mendalami ilmu agama, dan untuk mengajar kaumnya apabila mereka kembali kepadanya; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga.”
(Surah al-Taubah: Ayat 122)
Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud:
Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
(Surah az-Zumar: Ayat 9)
Dan di dalam kitab Ta'limul Muta'allim karya Syekh Az-Zarnuji, halaman 4, termaktub hadis Nabi sebagai berikut:
"Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. bersabda: Menuntut ilmu itu merupakan kewajipan atas setiap muslim dan muslimah."
Kadangkala apabila membaca kisah ulama-ulama terdahulu menyebabkan kita berasa cukup terkesan untuk mendalami dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.
Seorang penulis Indonesia, Abu Anas Majid Al-Bankani menulis dalam bukunya ‘perjalanan ulama menuntut ilmu’ mencatatkan kisah-kisah ulama yang cukup memberi kesan kepada kita.
Antaranya kisah Yahya bin Ma'in iaitu seorang imam dalam al-jarhu wa ta'dil (ilmu mengenai kecacatan dan kebenaran riwayat suatu hadits). Beliau adalah seorang yang telah sampai pada puncak ilmu hadits pada zamannya. Diriwayatkan beliau menghabiskan 1.050.000 dirham dalam mencari hadis hingga tidak ada yang beliau miliki selain sandal yang dipakai.
Juga kisah Al-Bukhari Rahimahullah yang pergi menemui para ahli hadis yang ada di seluruh dunia. Al-Imam belajar ke Khurasan, pergunungan, kota kota di sekitar Irak seluruhnya, Hijaz, Syam, Mesir, dan dia datang ke Irak beberapa kali. Al-Bukhari berkata, "Aku belajar kepada 1.000 guru dari kalangan ulama, bahkan lebih. Aku tidak mempunyai satu hadis pun, kecuali kusebutkan sanadnya."
Malah cuba kita hayati apa yang pernah disebut oleh al-Imam as-Syafie(Rahimahullahu Ta'ala),
"Barang siapa yang tidak cinta terhadap ilmu, maka tidak ada kebaikan padanya; dan janganlah di antara kamu dengannya terjalin hubungan intim dan tidak perlu kenal dengannya, sebab orang yang tidak mahu belajar ilmu, tentu ia tidak akan mengetahui cara-cara beribadah dan tidak akan melaksanakan ibadah sesuai dengan ketentuan-ketentuannya. Seandainya ada seseorang yang beribadah kepada Allah Swt. seperti ibadahnya para malaikat di langit, tetapi tanpa dilandasi dengan ilmu, maka ia termasuk orang-orang yang rugi."
Sebenarnya masih terdapat ratusan kisah boleh kita dapati dengan menyelak kitab-kitab karangan ulama-ulama silam antaranya kitab Ta'limul Muta'allim karangan Syekh Az-Zarnuji,Qimatuz Zaman Inda al-Ulama dan banyak lagi kitab-kitab lain yang tak mampu saya sebutkan di sini.
Sesungguhnya Allah mengangkat darjat manusia dengan ilmu,lalu menjadikan bagi mereka kebaikan dengan mengangkat mereka sebagai pemimpin dan pemberi petunjuk yang diikuti,petunjuk dalam kebaikan,jejak mereka diikuti dan perbuatan mereka diamalkan.
Lalu tiadalah jalan yang harus kita tempoh untuk menjadi berilmu melainkan melalui pengajian yang berterusan bersama para ulama juga melalui pembacaan yang baik,bermutu dan berkesan.
Anda membaca,saya juga membaca.Dan kita membaca hampir dalam semua bidang ilmu.Namun pernahkah kita berfikir pembacaan jenis manakah yang sebenarnya patut untuk kita hayati?Adakah jenis pembacaan yang menekankan soal hukum hakam ibadat semata-mata?Ataupun berupa motivasi supaya kita sentiasa bersemangat dalam menempuh onak dan duri sepanjang kehidupan?Atau pembacaan yang berbentuk humor sehingga membawa jiwa kita lalai dalam arus dunia yang menghanyutkan?
PEMBACAAN YANG MENDIDIK JIWA
Pembacaan yang mendidik jiwa.
Ini jawapan saya.Jawapan saya adalah jenis pembacaan yang sebenarnya patut untuk kita hayati adalah jenis pembacaan yang mampu mendidik jiwa kita ke arah menjadi hamba dan berasa hamba kepada Allah,tuhan yang memiliki alam ini.
Tidak kisah sama ada pendidikan jiwa itu datangnya dari penulisan dalam bidang apa sekalipun.Boleh jadi terdapat dalam ilmu tauhid,atau letaknya dalam lapangan feqah,malah jika datang dari penulisan berbentuk jenaka sekali pun yang dapat mendidik jiwa kehambaan maka tiada masalah untuk kita menerimanya. Hal ini demikian kerana di situlah letaknya sumber kekuatan dan kecemerlangan kita, iaitu umat pilihan.
Manusia hamba akan hidup sebagai manusia yang terbaik di mana sahaja dia berada.Seorang anak yang memiliki jiwa kehambaan tentu sahaja akan lebih taat kepada orang tuanya berbanding anak yang langsung tidak memilikinya.Bukankah Allah sendiri mewajibkan kepada tiap-tiap anak supaya mentaati orang tuanya?
Begitu juga halnya jika jiwa hamba itu letaknya pada diri seorang pekerja,majikan,pelajar atau siapa-siapa pun juga akan menjadikan pemiliknya itu sentiasa cemerlang dalam setiap keadaan sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang maksudnya:
“Begitu beruntung nasib orang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tiada habuan yang baik kecuali bagi orang yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia bersyukur maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa sesuatu kesusahan maka dia bersabar maka sabar itu baik baginya”
Berjiwa hamba menjadikan yang takwa bertambah takwa,yang yakin meningkat yakinnya,malah yang khusyuk makin khusyuk dirinya dengan tuhan.Bukankah sifat-sifat ini yang kita dambakan siang dan malam?
Jika benar,maka pembacaan yang mengandungi sifat-sifat inilah yang sentiasa saya dahagakan saban waktu.Lantaran itu saya cuba untuk menjadikan ‘jiwa hamba’ sebagai dasar penulisan supaya nantinya saya khususnya dan anda juga sedikit sebanyak lebih terdorong untuk mendalami erti ‘berasa hamba’ ini.Firman Allah yang bermaksud:
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
(Surah as-Syams: Ayat 7-10)
PENUTUP
Pasti saja saya bukanlah insan terbaik untuk membincangkan perkara begini lantaran dosa dan maksiat yang sentiasa menyelubungi diri,namun apa yang sentiasa saya yakini bahawa ilmu itu tidak mengenal siapa kamu.
Selayaknya ilmu itu kita dapatkan ilmu dari seorang ulama yang alim,namun itu tidak bermakna bahawa orang yang hidupnya disurami gelapnya maksiat tidak layak untuk menyampaikan ilmunya kepada kita.
Sesungguhnya hikmah itu adalah sesuatu yang hilang dari kalangan orang mukmin,maka di
mana sahaja kamu menjumpainya,maka ambillah...
Saya hanya menulis,
Wallahua’lam..
sila tinggalkan komen anda
salam ukhuwwah..
mantap pengisian blog ni. teruskan menulis demi maslahah ummah bersama.. insyAllah. moga ALLAH redho usaha dakwah ini.. siiru 'ala mardhotillah..
salam kepada miss gaza dan pu3 balqis..terima kasih diucapkan atas kata-kata semangat yang diberi.Ini saja antara usaha yang dapat kita lakukan.Redha Allah itu tinggi sangat nilainya.tapi dengan usaha kecil macam ini harap dapat nilaian di sisi-Nya.
harap Allah redha..
Tahiah. Diharap usaha yang kecil ini mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.. InsyaALLAH...