Mari Mencintai Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam
Mari Mencintai Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.
ITULAH DIA RASULLULLAH
‘Tiada peribadi yang lebih indah daripada baginda Rasulullah SAW. Saya merasa amat rendah hati apabila hendak menceritakan susuk tubuh yang mulia ini. Namun saya kira, apa salahnya saya kongsikan perasaan saya terhadap baginda dengan anda semua.
Rasulullah SAW inspirasi saya. Baginda adalah manusia yang saya segan dengannya. Baginda adalah insan yang bila sirahnya dibentangkan di hadapan saya, saya bergetar. Baginda adalah yang saya amat sayang.
Walaupun saya tidak tahu, sama ada di akhirat kelak baginda mengenali saya sebagai ummatnya atau tidak.
Kelebihan baginda yang tertinggi – akhlak
Bagi manusia, aset terbesarnya adalah syakhsiah dirinya. Rasulullah SAW, asetnya ini berjaya dikuasai. Hasil daripada tarbiyah langsung oleh Allah SWT, baginda mempunyai akhlak yang sangat bersih.
Saidatina Aisyah pernah ditanya berkenaan akhlak Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah menjawab: “Akhlaknya seperti Al-Quran”
Baginda adalah pembumian Islam. Baginda adalah bukti daripada Allah SWT bahawa Islam itu mampu dilaksanakan. Dan kalau ada orang berkata: “Boleh lah, dia Nabi”, saya akan berkata: “Maka lihatlah Abu Bakr, lihatlah Umar. Mereka ditarbiyah oleh Rasulullah SAW. Bukankah mereka manusia biasa?”
Baginda Rasulullah SAW sangat merendah diri. Walaupun dia Rasul, dia langsung tidak membesarkan dirinya. Hatta apabila dia diseksa di Taif dan Allah menghantar malaikat untuk menghukum penyeksanya, dia meminta Allah melepaskan mereka.
“Moga nanti, dari tulang sulbi mereka, muncul manusia yang beriman” Itu bicara baginda.
Saat baginda diizinkan Allah SWT untuk mengucup kemenangan besar pada Fathu Makkah, baginda tidak memasuki Tanah Haram itu dengan mendabik dada megah. Tetapi baginda menunduk, bertasbih memuji-muji Allah SWT dengan penuh rasa kerdil. Hingga diriwayatkan bahawa, dagunya hampir menyentuh tubub Qaswa, unta tunggangannya.
Baginda sangat rapat dengan anak-anak. Baginda juga mencintai orang miskin dan anak yatim.
Baginda pernah merapatkan jari telunjuknya dan jari hantunya, kemudian baginda bersabda: “Aku dengan anak yatim, adalah seperti ini”
Bukan pendendam
Rasulullah SAW tidak menyimpan hasad di dalam jiwanya. Ketika menawan Makkah, semua kaum quraisy yang pernah menyiksanya dahulu merasa risau. Pada saat itu, Rasulullah SAW bertanya:
“Pada pemikiran kamu, apakah yang akan aku lakukan?”
Kaum Quraisy menjawab: “Kamu wahai Muhammad, hanya melakukan yang baik-baik sahaja”
Rasulullah SAW tersenyum. “Kamu semua bebas”
Mudah. Tidak dia membalas perbuatan orang-orang kafir Makkah. Tidak pula dia mencari personal-personal yang telah menyusahkan jalan dakwanya. Tidak. Tetapi dia memaafkan.
Sangat amanah
Rasulullah SAW digelar Al-Amin oleh kaum Quraisy. Digelar Al-Amin kerana baginda amat amanah, jujur dan tidak pernah berbohong. Langsung tidak khianat. Walaupun selepas itu kaum quraisy menentang baginda, Rasulullah SAW tetap menjaga dengan penuh amanah barang-barang yang disuruh kaum quraisy untuk dijaga.
Rasulullah SAW tidak mencuri barangan mereka. Rasulullah SAW tidak menghilangkan barangan mereka. Walaupun mereka menyusahkan kehidupan baginda. Malah, antara sebab Rasulullah SAW meninggalkan Ali RA semasa peristiwa Hijrah adalah untuk memulangkan semua barangan yang disuruh oleh Kaum Quraisy, untuk Rasulullah SAW menjaganya.
Dia Suami Romantik, Bapa Penyayang, Sahabat terbaik
Rasulullah SAW tanpa segan, senang bermain lumba lari dengan Aisyah RH. Pernah juga sekali, semasa ada pertunjukan, dan Aisyah ingin melihatnya, Rasulullah SAW meletakkan dagu Aisyah pada bahunya.
Rasulullah SAW juga adalah bapa yang sangat penyayang. Dia amat menyayangi Fatimah. Diriwayatkan bahawa, setiap kali dia bertemu Fatimah, dia akan mencium dahi anak perempuan kesayangannya itu.
Rasulullah SAW juga sahabat yang terbaik. Ketika Abu Bakr RA menawarkan untanya semasa peristiwa hijrah, Rasulullah SAW tidak mahu menerianya kecuali dengan bayaran. Rasulullah SAW juga tidak segan memberitahu kasih baginda kepada sesiapa yang baginda cintai.
Pernah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling kau cintai?”
Tanpa ragu, Rasulullah SAW menjawab: “Aisyah”
“Dari kalangan lelaki?”
“Ayahnya(Yakni Abu Bakr)”
Baginda juga pernah besabda: “Andai aku boleh memilih kekasih lain selain Allah, maka aku akan memilih Abu Bakr menjadi kekasihku.”
Sangat tabah
Yang menggerakkan hati saya, adalah kehidupannya yang padat. Rasulullah SAW berdakwah, menjadi hakim, menjadi sahabat, menjadi suami, menjadi bapa, menjadi jiran, menjadi ketua negara, menjadi ketua perang. Waktu siangnya teramat sibuk.
Tetapi, kesibukan waktu siangnya tidak menganggu qiamnya yang panjang pada waktu malam. Sehingga satu tahap, kaki baginda bengkak-bengkak kerana terlalu lama bersolat.
Aisyah pada satu hari bertanya: “Kenapa kau sampai begini? Sedangkan Allah telah mengampunkan dosa kau yang telah lepas dan yang akan datang”
Rasulullah dengan penuh rendah hati menjawab: “Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”
Macam mana agaknya, seorang manusia yang teramat sibuk pada waktu siangnya, mampu bangun dan menunaikan solat malam terlalu lama hingga kakinya bengkak?
MasyaAllah.’
Catatan di atas adalah secebis lakaran Hilal Asyraf dalam lamannya berkenaan Baginda Nabi yang saya kutip dan lampirkannya di sini untuk tatapan kita bersama.
MARI MENGENANG BAGINDA BANYAK-BANYAK
Mengingatkan baginda nabi,hati saya menjadi sayu.Adakah saya dapat bersama baginda nanti?
Adakah baginda akan menerima saya yang pada masa yang ketika itu semua manusia lain terlalu sibuk dari memikirkan selain hal dirinya sendiri?
Adakah baginda mahu memberi syafaatnya tatkala kita memohon kepada baginda yang pada ketika itu tiada lagi manusia yang dapat membantu manusia lain selain baginda?
Adakah baginda sanggup memandang wajah-wajah kita yang penuh kegelapan maksiat ini?
Sedangkan baginda adalah kekasih Allah.
Hidup baginda penuh dengan suri teladan yang baik.Sirah baginda adalah sejarah terulung yang tiada bandingannya.
Baginda berjuang menyemai cahaya Islam ke dalam hati para sahabat yang pada masa itu seluruh kehidupan mereka disurami kegelapan jahiliyyah.Dan mengubah mereka menjadi generasi terbaik yang pernah diketahui.
Kalau bercerita berkenaan baginda Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam 10 hari pun mungkin tidak habis. Hal ini kerana, baginda ibarat lautan ilmu yang berjaya. Baginda adalah qudwah hasanah kepada manusia yang inginkan syurga Allah SWT.
“Sesungguhnya pada Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, bagi siapa yang inginkan Allah dan hari akhirat…” Al-Ahzab ayat 21.
Baginda sangat mulia dan tidak mampu diceritakan semuanya dalam dua tiga muka surat. Peribadi baginda terlalu bersih dan amat menawan. Hatta diam baginda juga menjadi tauladan.
MasyaAllah.
Adakah kita sudah benar-benar mengenali baginda?
Jika belum, maka selaklah sirah baginda.
Sesungguhnya kita akan jatuh cinta dengannya.
Saya memohon ampun daripada Allah Subhanahu Wa Taala kerana dalam catatan ini saya tidak mampu membawa makna yang sebenar tentang ketinggian dan kemuliaan peribadi baginda.
Diri saya yang serba hina ini sangat tidak layak untuk berbicara berkenaan baginda,namun saya tidak mahu melepaskan peluang daripada menyebutkan kepada diri dan kepada anda supaya kita sama-sama memperbanyakkan diri mengenang baginda yang ketika berhadapan sakaratul maut masih mengingati kita,ummatnya ini.
Justeru,untuk kesekian kalinya saya mengajak,
Marilah kita mengenang dan mencintai baginda.
Supaya dengan kecintaan itu mendekatkan kita kepada baginda yang mulia.
Dari Abu Musa al-Asy’ari berkata: Rasulullah bersabda: Seseorang itu bersama orang yang ia cintai. (Muttafaqun 'alaihi)
wallahu'alam
Rosululloh sallallaahu ‘alayhi wa sallam memang idola kita semua.
Mari kita jalankan Sunnahnya.