Jika kamu berpuasa hari ini
Jika kamu berpuasa hari ini, maka ada baiknya risalah ini kamu baca dan renungkan.
Berkenaan puasa, Nabi kita telah memberi peringatan dengan sabda baginda:
“Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya tersebut kecuali rasa lapar dan dahaga.”
Sekarang, mari kita perhatikan mengapa usai seharian kita menahan diri, namun pulangannya hanyalah penat dan lemah akibat berjam-jam menahan lapar dahaga. Tidakkah ini sangat merugikan?
Sejak subuh kita berlapar, juga menahan dahaga selama beberapa jam sebelum berbuka sebaik azan maghrib berkumandang, sangat menyedihkan jika tiada imbalan kebaikan yang layak diterima sebagai balasan.
Puncanya, juga telah dipesankan oleh baginda Nabi melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiyallhu anhu bahawa Rasulullah bersabda:
“Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagho dan lucah. Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat jahat kepada kamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa””(hadis riwayat Imam Hakim dan Imam Ibnu Majah).
Perhatikan, di dalam hadis, baginda Nabi menyebutkan dengan jelas bahawa puasa itu bukan cuma menahan makan dan minum, sebaliknya ia perlu diseiringkan dengan menahan diri dari bercakap perkara lagho(melalaikan) dan lucah, juga menahan diri daripada menjadi marah.
Jadi, mari kita teliti semula sepanjang beberapa hari kita berpuasa. Mungkin kita sudah sebaiknya tidak makan dan tidak minum. Tetapi, bagaimana dengan kawalan kita ke atas tubuh melalui aspek yang lain?
Bagaimana dengan suruhan supaya kita menahan diri daripada bercakap lagho? Sudah terkawalkah lidah kita yang tidak bertulang ini? Atau, telah terkawalkah diri ketika amarah dan dendam memuncak? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Jawapannya ada pada diri kita masing-masing.
Jadi, bertanyalah kepada diri sendiri, sejauh mana kita telah memberikan erti sebenar puasa di dalam kehidupan kita. Biar kita sendiri yang menyoal dan biar diri kita sendiri yang menjawab.
Penutup: puasa seluruhnya
Suruhan untuk berpuasa adalah ke atas diri manusia. Bukannya ke atas perut manusia, dan bukannya ke atas mulut manusia sahaja. Sebaliknya adalah seluruh diri manusia dari atas rambutnya, turun sampai ke bawah kakinya.
Maksudnya bagaimana?
Ianya adalah terkandung di dalam hadis di bawah ini:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang buruk dan perbuatan yang buruk, maka tiadalah Allah berhajatkan apa-apa dari rasa lapar dan haus yang ditahannya.”(hadis riwayat Imam Bukhari)
Maka, perhatikanlah setiap kata-kata dan amalan kita. Setiap kata-kata dan perbuatan kita itu akan dinilai. Namun bukannya dinilai oleh manusia, tetapi dinilai oleh pencipta manusia.
Jangnlah sampai puasa kita, nilainya adalah kosong.