Pembakar semangat
Alhamdulillah! Kita sudah sampai hari ke 11 daripada bulan Ramadhan 1431 H.
Bagaimana? Cemerlangkah kita pada 10 hari Ramadhan yang berlalu?
Andai kata rasa-rasa diri kita tidak cemerlang, mari kita tebus ketidakcemerlangan kita tu pada 20 hari yang berbaki ni.
Pembakar semangat cara motivator
Tulis besar-besar matlamat di dinding bilik, ayat-ayat peransang semangat seperti “Aku Mahu Perbaiki Amalan”.
Kita kurang cemerlang sebab kita kurang ransang diri kita dengan ayat-ayat penaik semangat seberapa ransang yang mungkin.
Jika rasa malu untuk melekat kata-kata semangat di dinding bilik, tuliskanlah kata-kata itu di atas sekeping kad.
Bawa kad tu ke mana-mana kemudian baca bila-bila masa, sebanyak mungkin dalam sehari. Setiap kali membacanya, Anda akan bersemangat tiba-tiba. Walaupun sekejap, sekurang-kurangnya tetap menaikkan semangat.
Teknik ni sebenarnya simple, tapi dapat menaikkan semangat.
Pembakar semangat cara lain
Kalau masih belum berjaya, apa kata kita renungkan hadis yang disabdakan oleh baginda Nabi ini,
Nabi kita bersabda,
“Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah.” [Hadith riwayat al-Nasaai]
Perhatikan, Nabi kita berpesan pada ayat yang terakhir:
“Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah”.
Sengaja di’hilight’kan ayat terakhir dari sabdaan nabi tersebut untuk mengajak kita semua berfikir. Ramadhan ini, Allah menjanjikan di dalamnya bermacam-macam tawaran yang maha hebat. Dengan durian runtuh Lailatul Qadar, amalan sunat yang dilipat gandakan menyamai amalan wajib, tawaran pengampunan segala dosa, pembebasan dari neraka yang bernyala-nyala dan banyak lagi, semuanya ini sangat memberangsangkan.
Maka, tidak menjadi kehairanan sekiranya nabi menyatakan seperti hadis di atas.
Mari berfikir, setelah Allah menjanjikan infiniti ganjaran baik yang menanti, kita masih lengah dan bermalas-malas, maka layak sangatlah untuk diharamkan daripada rahmat-Nya. Bukankah mengabaikan tawaran yang tidak selalu datang ini jelas sekali menunjukkan egonya kita dengan Allah SWT?
Jadi jangan ego. Kita tak mahu terima tawaran hebat dari Allah, kita fikir siapalah diri kita ini?
Mungkin hadis nabi yang mengaminkan doa daripada Malaikat Jibril dapat mengubah cara fikir kita.
Hadis daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu’anhuma: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.
Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata, "Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.
Kemudian Jibril berkata lagi, "Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.
Kemudian Jibril berkata lagi," Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.
Ingat, "Amin, amin, amin," kata Rasulullah.