bagaimanakah remaja Muslim bercinta?
Adakah anda bersetuju jika saya katakan begini,
“Tidak perlu mencanangkan cinta kamu kepada manusia kerana dia tidak akan faham betapa luasnya cintamu terhadapnya. Dan tidak perlu menghebohkan cintamu terhadap Pencipta kerana Dia sentiasa tahu betapa sempitnya cintamu itu”.
rujuk gambar di sini
Bagaimana, apa pendapat anda?
Jika sudi, boleh letakkan jawapan anda pada ruangan komen di bawah.
Remaja dengan rasa cinta
Ketika remaja, rasa cinta kepada seorang makhluk lain yang juga bernama manusia membuak-buak. Jiwa dilanda tsunami cinta yang mengakibatkan pantai sukma kucar-kacir. Lantas, kehidupan seharian menjadi gundah-gulana.
Walaupun tidak semua, tetapi siapa yang terkena penangan cinta ini akan menjadi huru-hara hidupnya. Kata orang, makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Pergi ke mana-mana dan buat apa-apa pun yang terbayang-bayang di benak hati adalah si dia. ‘Di mana dia sekarang, apa yang dia sedang buat. Ah, rindunya!’.
Begitulah penangan cinta. Ada pepatah English yang menyebutkan cinta ini ibarat hantu. Tetapi entahlah, untuk apa digunakan pepatah mereka, bukankah kita sendiri sudah kaya dengan bahasa dan perbidalan?
Walaubagaimanapun halnya, kita perlu ada cara tersendiri untuk menghadapi rasa cinta ini. Kehidupan remaja dengan rasa cinta yang membuak-buak di jiwa tetap perlu didepani dengan identiti remaja muslim yang sebenar-benarnya.
Persoalannya, bagaimana mendepani cabaran remaja muslim dengan hati penuh rasa cinta terhadap si dia?
Sesungguhnya, inilah yang selalu mundar mandir di bilik akal dan fikiran saya selama ini.