panduan puasa sunat 6 hari Syawal dan qadha puasa
Assalamualaikum.
Dah puas raya kan? Jom puasa enam untuk bulan syawal ni pulak. Tapi saya tak sempat nak tulis penuh hukum-hukum dan cara pelaksanaan puasa 6 ni. Jadi saya salin ini daripada blog kawan untuk perkongsian kat bawah ni. Perbahasan tentang qadha puasa ramadhan yang tertinggal untuk dilakukan dalam bulan syawal pun ada.
Puasa 6 hari di bulan Syawwal adalah termasuk di dalam ibadah puasa Tathawwu’ (amalan ketaatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah). Kebanyakan ahlil ilmi mengatakan sunnat berpuasa 6 hari di bulan Syawwal termasuklah Ibn Abbas, Thaus, Sya’bi, Maimun bin Mahran, Ibn Mubarak, Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Ishaq dan lain-lain.
Imam Nawawi mengatakan: Hadith ini (iaitu hadith Abu Ayyub al-Anshari di bawah) jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (di bulan Syawwal).
Puasa ini seolah-olah seperti ucapan selamat jalan (taudi’an) kepada bulan Ramadhan dan boleh menampal (jabran) kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa fardhu tersebut.
Sesungguhnya puasa selama 6 hari di bulan Syawal mengandungi pahala yang sangat besar sekali. Ini adalah berdasarkan hadith daripada Abu Ayyub al-Anshari, sesungguhnya Rasulullah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Mafhumnya:Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun.
Sebahagian ulama menafsirkan, mengerjakan puasa sepanjang tahun ini merujuk kepada ganjaran kebajikan yang ada pada puasa wajib di bulan Ramadhan dan puasa sunnat di bulan Syawwal ini. Ini lebih jelas disebutkan di dalam hadith daripada Thauban, daripada Rasulullah, sesungguhnya Baginda bersabda:
مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ، مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشَرَ أَمْثَالُهَا
Mafhumnya: Barang siapa berpuasa enam hari selepas Eidul Fitri (Hari Raya Puasa), adalah (seolah-olah mencukupkan puasa) sepenuh tahun. Barang siapa yang melakukan satu kebajikan, maka baginya (digandakan) sepuluh kebajikan sepertinya.
Oleh kerana itu, puasa sebulan di bulan Ramadhan seolah-olah berpuasa 10 bulan (atau 300 hari kerana 30 hari x 10), dan puasa 6 hari Syawwal seolah-olah berpuasa 2 bulan (atau 60 hari kerana 6 hari x 10) yang menjadikan jumlahnya setahun (atau 360 hari dan setahun mengandungi 360 hari).
Di dalam hadith lain daripada Ibn Umar berkata: Rasululullah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Mafhumnya: Barang siapa berpuasa Ramadhan dan mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, keluarlah dosa-dosanya (sehingga dia menjadi bersih dari dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.
Waktu dan perlaksanaannya
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muhazzab: Telah berkata Ashab kita (iaitu ulama’ Syafi’iyyah): Dan disunnatkan puasa enam Syawwal itu berturut-turut pada awal Syawal dan jika dicerai-ceraikan dia (iaitu puasa itu) atau dita’khirkan (dilewatkan) dia daripada awal Syawal nescaya harus.
Ibn Mubarak memilih awal bulan dan beliau mengatakan jika bercerai-cerai harus.
Afdhal
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muslim: Telah berkata Ashab kita: Bermula yang afdhal bahawa puasa ia enam hari berturut-turut mengiringi hari fitrah (iaitu bermula dari 2 Syawwal).
Qadha’ puasa dan puasa sunnat Syawal
Mengqadha’kan puasa bulan Ramadhan adalah sesuatu yang wajib. Jika ia dilakukan secara berasingan (separated) dengan puasa sunnat Syawwal, maka ia jelas difahami akan bolehnya. Persoalan timbul apabila ia dilakukan sekali gus (combined) dengan puasa Syawwal dalam bulan Syawwal. Para ulama’ khilaf mengenainya.
Er, berkenaan Qadha puasa dan puasa sunat Syawal ni saya tak salin semua. Jadi kawan-kawan yang nak faham masalah ini bolehlah rujuk ke blog ni, http://musafirahdakwah.blogspot.com/2010/09/puasa-syawal-dan-qadha.html. InsyaAllah dah dilumatkan semuanya di sana.
Apa lagi. Jom puasa sunat 6 hari Syawal.