Mari Bersyukur Kepada Ilahi
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1)
TIDAK MAHUKAH MENJADI YANG TERBAIK?
Baru-baru ini seorang sahabat bertanya kepada saya,tidak mahukah menjadi yang terbaik?
Saya menjawab semestinya saya mahu.Bahkan semua manusia yang waras akalnya pasti juga akan menjawab mahu.Tentu.
Bagaimanakah kita sanggup untuk menjawab tidak mahu menjadi yang terbaik sedangkan kita mengetahui bahawa syurga itu hanya tersedia untuk orang-orang yang terbaik.Malah tidak pantas untuk kita katakan bahawa redha Allah itu selalu bersama orang yang tidak terbaik.
Namun fikiran saya tidak lepas dari memikirkan dengan cara apakah untuk menjadi yang terbaik?Adakah mesti mendapat tempat pertama dalam semua peperiksaan semester atau berjaya dinobatkan sebagai johan dalam setiap pertandingan syarahan?
Atau mungkinkah menjadi yang terbaik itu adalah dengan sentiasa membilang butir tasbih sambil pandangan mata tunduk rapat memandang tanah tatkala berada di jalanan?
SYUKUR ITU TERBAIK
Tak lama selepas itu saya singgah ke Masjid Hussien untuk menunaikan solat fardu zohor.Semuanya seperti biasa,melainkan sesuatu yang saya terpandang di dinding sewaktu hendak berwuduk.Sehelai kertas iklan kecil berwarna cerah yang di atasnya tertera aksara yang berbunyi,”adakah kamu bersyukur kepada Allah?”
Dalam hati saya berdetak,adakah saya ini bersyukur?Bagaimana pula yang dimaksudkan dengan bersyukur itu?
Persoalan itu saya tinggalkan di situ juga kerana kekangan masa yang menuntut memandangkan banyak tugasan lain yang juga perlu untuk diselesaikan.
“Kita tidak boleh ubah sesuatu yang kita lihat, tetapi kita boleh ubah diri kita melihatnya.Jika tidak dapat apa yang kita suka, maka langkah terbaik ialah suka apa yang kita dapat, itulah syukur namanya,”kata seorang sahabat saya.
Saya tidak terus menerimanya,tetapi saya terus berfikir,merenung dan mencari makna di sebalik kata-katanya itu.
Mencari.
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak
mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Nahl 16:Ayat 78)
“Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima
terhadap pemberi dan pengurnia”,begitu catatan almarhum al-Fadhil al-Ustaz Fathi Yakan dalam kitabnya ‘Mengapa Saya Menganut Islam’ pada bab pertama di bahagian 1,Saya Mestilah Muslim di Sudut Akidah.
Kemudian beliau menambah seperti berikut, “Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(Surah Ibrahim 14: Ayat 7)
Seterusnya Allah berfirman:
"Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan
kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa
mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang
dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?." (Surah
Yasin 36: Ayat 33-35)”
Ayat-ayat yang didatangkan ini secara jelas menuntut kita bersyukur kerana syukur itu adalah tanda kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia.
Iaitu menuntut kita bersyukur kepada Allah taala,tuhan pemilik alam ini atas segala nikmat yang dicurahkan-Nya sama ada yang kita kesani mahupun yang terselindung dari pandangan kita yang serba kekurangan ini.
Sudah terjawabkah persoalan saya?
Untuk itu mari saya sebutkan apa kata Imam Ghazali dalam karya beliau yang masyhur,Ihya Ulumuddin.Beliau menyebut terdapat tiga elemen utama dalam konsep kesyukuran iaitu ilmu,perasaan dan amal.
Dalam memahami erti syukur,kita tidak dapat tidak mestilah mengetahui akan sesuatu nikmat yang diterima,seterusnya memahami bahawa kita benar-benar mendapat nikmat tersebut dan meyakini bahawa yang memberi nikmat itu adalah Allah S.W.T
Hasil dari ilmu-ilmu ini,maka akan hadir perasaan dalam diri kita untuk melambungkan kesyukuran kepada Sang Pemberi.Dengan itu maka terbitlah amalan-amalan kita berupa pengabdian diri kepada Allah yang telah memberi kepada kita segala nikmat-nikmat yang sememangnya tidak pernah mampu untuk kita hitung.Terlalu banyak!
Itulah syukur.
Mengetahui perkara yang patut disyukuri,diri sebagai penerima dan Allah sebagai Tuhan Pemberi lalu melahirkan perasaan bersyukur hingga dapat menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.Sebagai hamba Ilahi.
MARI BERSYUKUR KEPADA ILAHI
Kerana itu mari kita bersyukur walau di tempat mana pun kita berada.Hal ini demikian kerana syukur itu jika letaknya pada diri seorang pekerja,majikan,pelajar atau siapa-siapa pun juga akan menjadikan pemiliknya itu sentiasa cemerlang dalam setiap keadaan.Iman Muslim meriwayatkan sebuah hadis yang maksudnya:
“Begitu beruntung nasib orang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tiada habuan yang baik kecuali bagi orang yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia bersyukur maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa sesuatu kesusahan maka dia bersabar maka sabar itu baik baginya”
Kembali saya teringat kepada kata-kata sahabat saya tadi, “kita tidak boleh ubah sesuatu yang kita lihat, tetapi kita boleh ubah diri kita melihatnya.Jika tidak dapat apa yang kita suka, maka langkah terbaik ialah suka apa yang kita dapat, itulah syukur namanya.”
Saya setuju akhirnya.Bukankah bersyukur itu dituntut dalam seluruh kehidupan kita?Dan bukankah setiap perkara yang hadapi merupakan nikmat daripada-Nya?
Semestinya.Iaitu jika setiap perkara yang ditempuh dilihat dengan pandangan hamba.Bahkan dengan perasaan hamba kepada Allah!
Kerana Dia adalah Sang Pencipta.
Mari bersyukur kepada Ilahi.
Wallahua’lam..
Sila tinggalkan komen anda.
Alhamdullillah...
salam..
best artikel ni. syukron krn mengingatkan..
sesibuk manapun kita dgn urusan duniawi jgn sesekali kita lupa utk bersyukur atas nikmat2Nya pada kita yg x terhitung ini krn jiwa akan menjadi tenang bila kembali kpd asal fitrahnya; yaani Zikrullah.. ALAHAMDULILLAH!
Surah Ibrahim ayat 7: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu berfirman: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih..”
Alhamdulilah..sama2 la kite berpesan2 kearah kebaikan..
salam kepada faizal yusup,miss gaza dan muslimah terengganu.terima kasih atas perhatian yang diberikan.harap Dia redha dengan segala usaha kita..
InsyaAllah.. teruskan berkarya wahai sahabatku...