hidayah
Beberapa orang sahabat saya yang sama-sama belajar di sini ramai yang telah pulang ke Malaysia untuk menghabiskan cuti mereka di sana. Namun, jumlahnya kelihatan semakin ramai dalam masa seminggu dua ini.
Antara yang terawal pulang adalah sahabat baik saya, Doktor Zurhain. Saya sendiri tidak pasti berapa tarikh kepulangannya tempoh hari, tetapi memang awal, beliau pulang sehari selepas habis peperiksaan kuliah perubatan Al-Azhar.
Beberapa hari kemudian, menyusul beliau adalah pemangku Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah, Ustaz Nazrul Abd Nasir yang pulang ke Malaysia untuk menyelesaikan beberapa urusan, kira-kira dua minggu lepas. Selepas itu, beberapa orang lagi pulang ke Malaysia sehinggalah kelmarin, saya mengiringi pula seorang lagi senior, Ustaz Arif Idzuan yang juga pulang ke Malaysia.
Hari ini pula, sekurang-kurangnya empat orang kenalan saya akan pulang. Terbitnya artikel saya ini juga adalah kerana memenuhi permintaan salah seorang sahabat saya ini. Maka terimalah, Hidayah.
=) bajet macam best. Peduli, penulis perlu enjoy!
Hidayah Allah perlu diusaha
Hidayah maknanya petunjuk, atau bimbingan. Hidayah ini setiap hari kita pohonkan daripada Allah. Setiap kali kita bangun untuk bersolat, di situ terdapat doa kita meminta supaya Allah memberikan bimbingan-Nya kepada kita.
Firman Allah,
“Tunjukilah kami jalan yang lurus” (surah al-Fatihah ayat 6)
Semestinya yang dapat memberikan Hidayah ini hanya Allah. Maknanya, sekiranya seluruh makhluk berhimpun dan melimpahkan seluruh daya untuk memberikan hidayah kepada mana-mana manusia, pasti mereka tidak mampu sekiranya Allah tidak mengizinkan sedemikian. Juga sebaliknya, mereka semua tidak akan mampu untuk menghalang dari sampainya hidayah sekiranya Allah sudah menjanjikan hidayah-Nya.
Kita mendengar kisah bagaimana bapa saudara Nabi kita, Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) juga tidak beriman semasa kewafatan beliau sekalipun yang mengusahakan dakwah kepada beliau adalah kekasih Allah itu sendiri.
Namun, kita diajar supaya sentiasa memohon Hidayah daripada Allah dan disuruh pula mengusahakan agar dapat menyampaikan Hidayah Allah ini kepada orang lain. Usaha kita dituntut dalam setiap perkara.
Kisah nabi Ismail
Al-Qur’an mengajar kita melalui kisah Nabi Ismail bersama ibunya Saiyidatina Hajar ketika nabi Allah itu menangis kerana dahagakan air. Ketika itu, ibu baginda yang mulia terlihat seolah-olah air yang ada di kejauhan sehingga beliau berlari ke sana demi mendapatkan air untuk Sang Anak yang dikasihinya itu.
Namun, beliau hampa kerana yang dilihatnya tadi bukanlah lembah air yang bertakung, sebaliknya hanyalah fatamorgana yang merupakan ilusi mata semata-mata. Perkara sedemikian berulang sebanyak 7 kali sehinggalah perbuatan seperti beliau ini diaplikasikan oleh semua muslimin dalam rukun haji.
Namun, yang mahu saya tekankan, saiyidatina Hajar ketika itu tidak berputus asa dan menyerah kepada nasib sahaja untuk mendapatkan air. Sebaliknya beliau berusaha dengan berlari ke sana, ke sini kerana beliau melihat seolah-olah ada air di situ. Atau boleh jadi juga beliau tidak berharap langsung adanya air, tetapi beliau berusaha juga supaya usahanya itu dipandang Allah.
Dan sememangnya itu yang terjadi. Allah Maha Melihat dan Dia menghantarkan rezeki-Nya yang berupa air yang membuak-buak yang keluar daripada tanah selepas diinjak-injak oleh Ismail.
Di sinilah pengajarannya. Allah sentiasa memberikan bantuan-Nya, tetapi Dia mensyaratkan kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka berusaha dan menyerahkan keputusannya kepada Allah, dan bukannya dari usaha mereka itu.
Carilah Hidayah Allah tanpa mengira tempat
Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa kaitannya sahabat-sahabat saya yang pulang ke Malaysia dengan artikel tentang Hidayah ini?
Maka jawapan saya adalah, mencari hidayah Allah ini tidak perlukan tempat yang khusus, dan tidak terbatas kepada beberapa bahagian masa sahaja. Sebaliknya ia bersifat setiap masa. Full Time kata ‘orang putih’.
Hal ini kerana kemungkinan ada yang berpandangan dengan berada di Negara Kiblat Ilmu ini, peranan untuk mendapatkan dan menyebarkan segala perkara yang mengajak manusia kepada Allah menjadi lebih. Sebenarnya tidak demikian.
Senior saya yang juga pemangku YDP MKK sebaik saja sampai ke Malaysia sudah dijemput untuk memberikan perkongsian bersama Syeikh Nuruddin di Perlis pada awal Rejab baru-baru ini. Menunjukkan di mana pun kita berada, tugas itu tidak pernah luput, sebaliknya ia bersama kita selagi bumi yang kita pijak adalah bumi Allah, dan rezeki yang kita makan rezeki Allah.
Setiap peringkat, ujian dan tanggungjawabnya berbeza.
Sebenarnya, di mana sahaja kita berada,tidak kira sama ada yang masih berada di bumi Mesir, atau yang baru dan akan pulang, atau yang memang di Malaysia, tugas kita untuk menjadi hamba kepada Allah tidak akan terlucut. Bahkan inilah jawatan yang paling mulia bagi makhluk apa sekalipun.
Namun, untuk yang berada di sini bersama-sama saya, ada satu nasihat yang amat baik jika kita dapat memahami maknanya dengan betul. Nasihat ini yang sebenarnya berbentuk harapan (mungkin?) saya ambil daripada seorang sahabat yang meletakkan di status facebook beliau beberapa hari lepas.
Kata beliau,
"Kagum dengan sahabat-sahabat yang belajar di luar negara. Antum sangat kuat. Walaupun terpaksa bermusafir, namun demi dakwah, antum sanggup. Berbeza dengan kami di sini. Di mana-mana mudah saja nak jumpa majlis2 ilmu. Itupun masih ramai yang tak ambil peluang. Subhanallah Sungguh, jihad antum akan Allah balas di akhirat kelak. Semoga thabat ya sahbt2. Jangan sia-siakn hidayah Allah."
Allah..
Kata-kata beliau ini amat berbekas di hati saya. Betapa sahabat-sahabat di Malaysia rupanya meletakkan satu pengharapan yang tinggi supaya kami di sini memberikan komitmen yang padu dalam pengajian. Namun yang terjadi tidak begitu, saya lebih banyak lalai daripada memenuhi harapan mereka ini yang juga merupakan harapan diri sendiri.
Tuhan, betapa hamba-Mu ini terlalu sering lalai daripada mengingati-Mu.
Penjuru kita, pastikan musuh tidak melalui situ
Berkenaan ini, suka untuk saya peringatkan diri sendiri terutamanya, juga kepada sesiapa yang dapat sampai kepada-Nya isi seruan saya ini, marilah kita untuk sentiasa memohon daripada Allah akan petunjuk dan pertolongan-Nya.
Setiap detik dalam hidup kita, kita memerlukan Islam. Padahal Islam sama sekali tidak memerlukan kita. Kita perlu kepada Islam ini kerana Islamlah yang mendidik kita menjadi yang terbaik, Islam menyuruh kita berjihad di jalannya dengan segenap penjuru yang kita duduki. Islamlah semuanya.
Kita bertanggungjawab dalam usaha meninggikan kalimah Allah. Kta tidak perlukan sebarang jawatan sebenarnya untuk diberi tanggungjawab seperti penceramah atau ustaz mana-mana lulusan untuk mengajak diri sendiri dan orang lain kepada Islam. Cuma, diwujudkan jawatan-jawatan supaya dipermudahkan tugas. Namun, peranan tetap sama – mengajak kepada kebaikan, mencegah daripada berlaku kemungkaran.
Rasulullah SAW bersabda,
“ Sesungguhnya setiap kamu adalah penjuru dari penjuru-penjuru ISLAM, musuh akan menyerang dari penjuru kamu, maka pertahankanlah penjuru kamu itu”
Adakah nasihat nabi kita ini masih tidak mencukupi?
Marilah, tegakkan Islam dalam diri kita, dalam masa yang sama kita menyeru kepada kesyumulan Islam ini. Kita jangan berlengah lagi.
Kepada siapa lagi kita mahu tinggalkan tugasan murni ini? Dan bila masakah pula kita harapkan seruan suci ini terlaksana?
Peluang ini, jika bukan kita yang merebutnya, pasti Allah akan memberikannya kepada orang lain.
Dan ketika kita dijauhkan daripada memperjuangkan Islam, apalah lagi yang mahu kita perjuangkan dalam hidup ini?
Harta, kedudukan atau nama?
Marilah, kita beriman denga hari akhirat, bahawa Allah menjanjikan ganjaran kenikmatan syurga yang tidak pernah terbayang oleh akal kepada para penolong agama-Nya.
“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu.” Surah al-Waqiah ayat 27
Dan kita juga beriman, Dia menjanjikan balasan simbahan api panas yang juga tidak pernah mampu dibayangkan oleh akal kita akan kedahsyatannya, jika kita menjauh daripada bimbingan-Nya.
“Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (siksaan) angin yang amat panas, dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewahan. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa besar.” Surah al-Waqiah ayat 41-46