remaja zaman sekarang
Kata orang, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Kata ulama, pemuda adalah satu cabang daripada cabang-cabang kegilaan. Kata Doktor Fadzilah Kamsah pula, manusia ada 3 peringkat kemiangan, yang terawalnya adalah pada usia 20 tahun.
Semua ini, yang saya mahu sebutkan adalah, para pemuda memiliki aset berharga yang nilainya sangat mahal.
Ya, para pemuda seperti kita. Yang dikatakan tenaga masih kuat, otak masih segar ditambah pula dengan semangat yang membara.
Kamu fikir, yang tenaganya kuat, otaknya segar dan semangatnya membara, apakah yang akan terjadi jika yang dipentingkan oleh manusia yang sebegini hanyalah perkara sia-sia yang merugikan?
Pasti dunia akan porak poranda, bangsa akan kehilangan identiti, dan yang terpenting, agama akan dipandang hina.
Kita yang perlukan Islam
Islam tidak memerlukan kita. Tetapi, kitalah yang sangat perlu kepada Islam. Bayangkan, tanpa Islam di dalam diri, apa yang akan terjadi kepada kita?
Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Tidak bergeser kaki seorang hamba pada hari kiamat sampai ia dipertanyakan tentang 4 perkara; tentang usianya untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa dipergunakan, tentang hartanya dari mana didapat dan untuk apa dinafkahkan, dan tentang ilmunya untuk apa diamalkan.”
(Riwayat al-Baihaqi dan selainnya dari Mu'adz bin Jabal radhiallahu Anhu)
Sesungguhnya, kita berasa sangat kesal melihatkan suasana masyarakat yang ada di sekeliling kita sekarang. Setiap hari, apabila helaian-helaian akhbar diselak, yang didapati adalah hampir semua muka surat akhbar memaparkan berita jenayah. Sangat menyedihkan. Soalan saya, adakah akhbar-akhbar ini diwujudkan hanya untuk memuatkan berita jenayah dan kezaliman?
Namun inilah hakikatnya.
Kamu sekarang dan kamu akan datang
Pemuda hari ini mencerminkan pemimpin masa hadapan. Pemimpin hari ini adalah imej yang dihasilkan pemuda masa lepas. Saya, kamu dan kita semua, inilah hakikat yang patut kita terima. Kita sekarang akan menentukan siapa kita 20 tahun akan datang.
Tapi, itu jika kita masih hidup 20 tahun akan datang. Bagaimana jika tidak?
Jika tidak, maka jadilah kita sekarang akan menentukan bagaimana kita selepas kita mati.
“Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah pula untuk mereka petunjuk”( surah al-Kahfi, surah ayat ke-13)