Musim Mahu Berbunga?
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Fatihah ayat 1)
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.
Saya manusia seperti anda juga. Yang berbeza mungkin rupa paras dan pengalaman hidup kita. Bagi saya, pandangan kita tentang kehidupan mungkin tidak banyak berbeza.
Justeru, apa kata kita cuba hayati apa yang saya cuba sampaikan melalui penulisan saya ini. Mungkin ini bermakna bagi sesiapa yang benar-benar mahu berfikir.
Hari ini, 02/04/10, di sini sudah mula tamat musim sejuk. Walaupun sebelum ini sejuk tidak sampai turun salji, tetapi dengan suhu kurang 10 darjah celcius sudah cukup merisaukan sesiapa yang keluar tanpa baju sejuk yang tebal.
Jadi di sini sekarang sedang dalam peralihan ke musim bunga.
Tetapi di Kaherah ini pokok tidak banyak seperti di tempat lain, maka suasana berbunga mungkin kurang dapat dirasakan.
Namun itu tidak menghalang dari musim bunga ini berlangsung dengan meriah.
InsyaAllah, in lam yasya' lam yakun (sekira Dia tidak kehendaki pasti tidak akan terjadi).
Saya membayangkan taman-taman bunga yang terdapat di tepi jalan raya ke kuliah kami yang pastinya akan menghadiahkan kami pemandangan indah melalui bunga-bunganya yang aneka warna.
Suasana petang akan mendamaikan dengan tarian bunga-bunga menguntum dikibas angin yang melipat.
Burung-burung camar akan berkejaran menikmati petang hari yang bahagia itu.
Kanak-kanak Arab pula tidak lagi betah untuk duduk bersimpuh di lantai. Mereka dengan gerak laku masing-masing pastinya mampu membuatkan mata yang memandang merasa kedinginan.
Petang yang hening dan bening.
Nirmala.
Kemudian, dengan bunga-bunganya itu, saya membayangkan jika saya dapat memetik sekuntum di antaranya yang paling mekar, indah dan harum untuk saya sisipkan di poket baju sebelah kiri dan dibawa ke mana sahaja saya pergi.
Alangkah, mungkin hidup saya akan lebih sempurna dengannya.
Namun, yang mekar, indah dan harum pasti bukan terjadi sembarangan. Perlu panjagaan dan pemeliharaan yang tiada tanding taranya.
Akhirnya saya terfikir. Yang dinamakan musim bunga, adakah kerana musim ini milik bunga, atau musim yang mahukan bunga?
Maka saya ingin bertanya kepada musim, adakah kamu benar-benar mahu berbunga?
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.."(surah an-Nur ayat 31)
Best :D
terima kasih.. berbunga-bunga ja rasa..