Sinaran yang Kian Sirna
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.
“Suasana sedih menyelubungi Mesir”, kata seorang sahabat saya.
“Ya Allah.. Telah hilang permata berharga buat warga Azhari,” kata seorang sahabat saya yang lain pula.
Kata-kata di atas saya petik daripada status di yahoo messenger dua orang sahabat saya. Kedua-dua mereka merupakan penuntut di universiti Islam tersohor di dunia, Universiti Al-Azhar, Mesir.
Mereka mencatat status yang sedemikian rupa berikutan berita yang termuat di akhbar-akhbar harian di seluruh dunia, iaitu berita berkenaan Syeikh Al-Azhar, Syeikh Mohamed Sayed Tantawi, 82, yang meninggal dunia di Riyadh - ibu negara Arab Saudi - selepas mengalami serangan sakit jantung semalam menurut laporan agensi berita Al-Jazeera.
DIA IBARAT SINARAN CAHAYA YANG TERPANCAR
Sungguh. Pada saya beliau memang ulama yang sangat saya kagumi. Ketika saya mula menjejakkan kaki di bumi mesir ini, saya sering menonton rakaman kuliah-kuliah beliau menerusi television (telefon tangan saya ada TV) pada waktu pagi,sekitar waktu subuh.
Kata-kata yang terbit dari mulut beliau sangat mudah difahami sehinggakan saya yang tidak dapat memahami Bahasa Arab dengan baik ini juga dapat memahami isi-isi kalimah beliau. Sangat fasih dan sangat lembut.
Beliau juga menurut Ustaz Nazrul Abd Nasir, ibarat sinaran cahaya yang terpancar. Sirah hidup beliau jika ditelusuri akan memberi kesan mendalam kepada kehidupan kita.
“Syaikhul Akbar merupakan seorang yang sangat kuat membaca dan terlalu asyik jika membaca, sehingga diceritakan beliau terpaksa menyuruh salah seorang pembantunya untuk menunggu dan mengingatkan kepada beliau bilamana waktu solat telah masuk,bimbang terlepas waktu solat. Ini kerana jika beliau mula membaca pada awal pagi, maka beliau hanya akan tamat membaca jika telah masuk waktu Zohor.Ini adalah rutin kehidupan Syaikhuna.”
“Bilamana meneliti kehidupan Syaikhuna, seolah-olah terpancar sinar para ulama terdahulu yang terlalu asyik dan masyuk ketika membaca. Kisah al-Imam Isnawi rahimahullah yang membaca bermula selepas Isya’ sehinggalah terlepas solat Subuh hanya kerana terlalu asyik membaca dan menulis sehingga tidak sedar bahawa matahari semakin meninggi.”
Masya Allah, begitu asyik sekali para ulama ini membaca. Berbeza sekali dengan sikap kita semua yang sangat kurang pembacaan ini.
APA AKU NAK JAWAB?
Sebenarnya semenjak semalam saya amat terkilan dengan berita ini. Sungguh-sungguh saya merasakan diri ini sememangnya telah mendapatkan kerugian yang besar.
Saya berasa amat rugi kerana sepanjang 5 bulan saya berada di bumi Mesir ini, saya tidak sempat bertemu beliau secara langsung. Saya tidak dapat bersemuka dengan beliau.
Saya hanya sempat mengambil manfaat dengan beliau melalui 5 jilid kitab beliau sahaja. Itu pun saya hanya sempat menyelak beberapa helaian daripada kitab-kitab tersebut.
Saya risau betul kalau ada yang bertanya begini,
"5 tahun kamu di Mesir, takkan tak pernah jumpa ulama itu?"
Saya tak kisah kalau yang bertanya itu manusia.
Tapi kalau Pencipta Manusia yang bertanya, saya tak tahu apa nak jawab.
Semoga Allah mengampunkan ketelanjuran saya ini.
Pemergian rahimallah ke alam barzakh ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Perkara seperti adalah seperti apa yang pernah disebutkan oleh junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam melalui sebuah hadis baginda,
“>Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu (agama) dengan serta-merta dari hamba-hamba Nya. Tetapi, Allah mencabut ilmu dengan mewafatkan (mematikan) ulama, sehingga Allah tidak menyisakan orang pandai. Maka, manusia mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpin. Lalu, mereka ditanya, dan mereka memberi fatwa tanpa ilmu.”
“(Dan dalam satu riwayat: maka mereka memberi fatwa dengan fikirannya sendiri). Maka, mereka sesat dan menyesatkan.”
Ketika ini saya teringat kata-kata saiyidina Umar Al-Farouq yang terdapat dalam kitab risalatul mustarsyidin nukilan Imam Haris al-Muhasibi,
Saiyidina Umar dalam peringatannya pernah menyebutkan, "dikatakan telah mati si fulan dan si fulan,maka tidak dapat tidak akan datang satu hari yang dikatakan padanya,telah mati Umar!"
Al-fatihah atas kewafatan Syeikhul Azhar, Dr.Mohamad Syed Tantawi. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
salam,
innalillah'hi wa'innailahi raji'un..
surat khabar di sini ada fitnah trhadap ulama' ini..nauzubillah..