pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

Ujiannya Lebih Berat

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.

Kita selalu berasa ujian yang kita tempuh adalah yang paling berat. Sangat memeningkan sehingga tak tertanggung. Namun sedarkah kita siapakah yang ujiannya baru layak dikira berat? Mari hayati..

BAGINDA YANG AMAT SAYA CINTA


Hari ini hari Jumaat yang terakhir dalam bulan Rabi-al-Awwal 1431 Hijrah. Saya tak pasti sama ada saya akan bertemu lagi dengan Rabi-al-Awwal yang akan datang. Malah untuk menjangkakan akan hidup hingga artikel ini tamat ditulis sekalipun saya tidak dapat memastikannya.

Hari jumaat begini saya suka untuk banyak-banyak memperingati orang yang paling berkorban dalam hidup kita semua. Manusia yang darahnya pernah mengalir membasahi kedua kakinya demi memastikan seruannya yang mulia sampai ke segenap penjuru alam.

Mengajak manusia menyembah Tuhan Yang Esa, lalu mengeluarkan mereka daripada segala kegelapan jahiliyyah dan membawa mereka menuju kecerahan Islam.

Rib’i bin Amir radiyallahu anhu, apabila dia berdiri di hadapan singgahsana Parsi beliau menyebut,

Allah telah mendatangkan kami, untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki, dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada TUHAN Manusia, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam,

Baginda adalah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang amat saya kasih dan sangat-sangat saya rindu. Pepatah arab menyebut ‘sesiapa yang menyukai sesuatu,maka dia akan selalu menyebutnya’. Saya berdoa agar kecintaan saya ini sampai kepada pengetahuan baginda nabi.


Saya ingin berkongsi kecintaan ini dengan anda. Dengan sepenuh hati, mari kita tumpahkan cinta kita kepada dia yang semua makhluk di alam ini juga mencintainya.

BAGINDA YATIM PIATU

Semalam saya mendengar seorang imam di masjid Al-Azhar menceritakan ujian-ujian yang menimpa baginda nabi. Dalam mencintai baginda, kita perlu tahu bahawa baginda itu ujiannya jauh lebih berat dari ujian yang menimpa kita semua.

Kita fahami hal ini melalui hadis ketika Sa’ad bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu bertanya: Wahai Rasulullah, Siapakah manusia yang paling keras ujiannya? Maka nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

"Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian orang yang semisal mereka lalu orang yang seperti mereka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila agamanya kuat maka ujian baginya semakin berat. Namun bila agamanya lemah maka ia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya tersebut. Dan ujian itu akan senantiasa menimpa seorang hamba hingga membiarkannya berjalan di muka bumi tanpa memiliki dosa sedikitpun." (at-Tirmidzi (2/64)

Nabi kita yang mulia, baginda dilahirkan dalam keadaan yatim. Itu kita semua tahu.
Lahir dalam keadaan tidak mempunyai bapa, berapa ramai dalam kalangan kita yang mempunyai nasib sedemikian rupa?

Tidak cukup dengan itu, ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia semasa baginda baru berumur 6 tahun. Oleh itu, sejak kecil Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam telah merasai kepahitan tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa.

Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan
perlindungan?
(Ad-Dhuha: 6)

Selepas itu Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Namun di bawah jagaan datuk baginda tidak lama, dua tahun selepas itu Abdul Muttolib pun meninggal dunia.


Kemudiannya baginda dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda besar dan dewasa.

KEMATIAN YANG MENYAYAT HATI

Pada tahun ke 10 kenabian, Abu Talib meninggal dunia. Seterusnya menyusul pula kewafatan isteri baginda yang amat dicintai, Khadijah binti Khuwailid pada tahun yang sama. Baginda benar-benar sedih dengan kematian mereka berdua.

Abu Talib ini, semasa hayatnya beliaulah orang yang paling kuat mempertahankan Rasulullah. Quraisy tidak berjaya menyakiti diri Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sepanjang hayat Abu Talib kerana mereka hormat dan gerun kepada beliau.

Khadijah pula sangat berperanan dalam meringankan kerungsingan dan kesedihan Rasul sallallahu ‘alaihi wa sallam lantaran permusuhan Quraisy yang dihadapi Baginda. Apabila beliau meninggal dunia, nabi berasa terlalu sedih.

Allah hu Allah.

Saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkan ini, tapi cukup untuk kita fikirkan bahawa nabi itu dengan bebanan dakwah baginda yang sangat berat, tiba-tiba diuji pula dengan kematian dua manusia yang paling baginda sayang.

Saya tak fikir dalam dunia kita ini ada lagi manusia yang bebanannya seberat nabi, kemudian ditimpakan dengan ujian yang sedahsyat ini.

Di samping itu, sejarah juga memberitahu kepada kita bahawa sepanjang hayat nabi, baginda menghadapi banyak kematian insan-insan yang baginda sayang. Baginda kehilangan bapa saudara baginda yang dikenali sebagai saiyyidul syuhada’, Hamzah bin Abdul Muttolib.

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam juga menyaksikan sendiri kematian anak-anak baginda. Seorang demi seorang. Melainkan Saiyyidatina Fatimah, 6 orang yang lain semuanya sempat nabi saksikan kematian mereka.

Dapatkah kita bayangkan semua ini?

MENGHADAPI SEMUA UJIAN ITU, BAGINDA BERSABAR

Sebenarnya terlalu banyak ujian yang Nabi hadapi sepanjang kehidupan baginda yang mulia itu. Bahkan dugaan-dugaan yang Nabi terima ini, semuanya sangat menyentak jiwa seorang manusia hamba. Namun semua ini tidak pernah mematahkan semangat baginda untuk terus menyebarkan seruan yang penuh kesucian ini.

Sebaliknya baginda menghadapi semua ini dengan penuh rendah diri sambil menggantungkan pengharapannya kepada Sang Pencipta semata-mata.

Dalam pada itu, kasih baginda tetap melimpah pada umatnya.

Selepas kematian bapa saudara dan isteri tercinta, baginda langsung tidak menunjukkan rasa kejatuhan. Sebaliknya baginda bangkit dan dengan gagahnya baginda bergerak menuju ke Thaif, untuk mengajak Bani Thaif kepada seruan suci ini.

Dengan harapan dakwah baginda akan diterima.

Namun hal itu tidak berlaku.

Kedatangan baginda sebaliknya disambut dengan lontaran batu diiringi segala cacian dan makian.

Hasilnya, lelehan darah merah pekat mengalir turun dari betis baginda. Membasahi kedua-dua kaki baginda yang mulia.

Kemudian baginda mendapatkan perlindungan di sebuah kebun. Di situ, dengan penuh khusyuk baginda berdoa,

“Wahai Tuhanku, kepada Engkaulah aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Rahim, Engkaulah Tuhannya orang-orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku. Kepada siapa Engkau menyerahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang Engkau tidak marah kepadaku. Sedangkan afiat-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat. Dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau”.

Baginda berdoa sambil menyerah diri kepada Allah, Tuhan Yang Memiliki alam ini.

Twitter
Facebook

allahhuakbar..

ana hampir lupa dugaan Rasulullah S.A.W..
Ya Allah..

Terlalu sibuk mmikirkn dugaan sndiri smpai lupa..

~khilaf.

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk