pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

blog jadi mangsa

Sebetulnya, pagi ini saya dijadualkan sebagai pengisi (sebenarnya pengongsi) bagi sesi tazkirah usai program Qiyamullail berjemaah AJKT-HEWI MKKK 2010/2011.



Namun, ketentuan Allah berlaku hingga Dia menangguhkan perkara yang sedemikian menjadi realiti.



Lantaran amanah yang tak tertunai, maka saya berhajat untuk melunaskannya di sini, di blog saya yang tak seberapa ini.



Begini.



Ada orang bertanyakan saya bagaimana mahu mendapatkan ikhlas dalam beramal. Seperti juga saya dan semua sahabat-sahabat di luar sana, persoalan ikhlas dalam amalan sangatlah menjadi perkara untuk diberikan perhatian sewajarnya. (klik)




Sungguh. Tanpa ikhlas, amalan setinggi gunung hanya bakal menghasilkan berat setimbang debu berterbangan.


Siapa sanggup?



Halau Tetamu Tak Diundang


Saya tidak pandai dalam menaqalkan kata-kata ulama untuk dikongsikan bersama orang lain. Itu kekurangan saya.



Tetapi, dari kata-kata mereka, dapat saya simpulkan bahawa wujud tiga perkara yang akan menyaingi ikhlas untuk berteduh di danau hati.



Tiga tetamu tak terundang yang bakal mengenepikan ikhlas dengan hadirnya mereka ini adalah perasaan inginkan harta, kemasyhuran, dan pangkat.



Semua manusia tentu ingin kepada harta dan kekayaan. Bahkan, baginda nabi juga pernah berpesan kepada kita tentang sukanya manusia kepada harta sehingga baginda bersabda dengan hadis berikut;


“Sekiranya anak Adam (manusia) memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan terpenuhi perut anak Adam kecuali tanah,dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. Hadis riwayat Bukhari.



Begitu juga dengan kemasyhuran atau rasa ingin dikenali. Buat sesuatu amalan dan berharap agar amalannya disebut-sebut atau sekurang-kurangnya dilihat oleh manusia lain.



‘Bagusnya Naimul Firdaus tu, blog dia semua berisi tazkirah dan muhasabah. Dah la penulisan dia menarik dibaca!’


Puaskah sesudah mendengar satu, dua pujian seperti ini?



Peringatan Keras



Sebenarnya ini bukanlah peringatan saya, tetapi ini adalah apa yang saya fahami apabila membacakan terjemahan daripada Surah At-Takasur. Iaitu apabila Allah berfirman,



"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh).
Sehingga kamu masuk kubur."



Maka sukalah saya untuk memperingatkan diri dan orang lain sepertimana yang diperingatkan oleh Allah melalui ayat ketiga dan keempat dari surah yang sama dengan firman-Nya,

"Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!"



Bukan sekali, bahkan diulang lagi supaya kita benar-benar melihat betapa pentingnya peringatan ini.



"Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!"



Bahkan seluruh makna dari Surah ini sangat baik untuk ditimbang jika kita benar-benar mahukan keikhlasan terjelma di dalam amalan kehidupan kita.



Dan untuk tidak memanjangkan artikel, di sini saya selitkan pautan terjemahan Surah At-Takathur untuk kita perhatikan sendiri. (klik)


Baik, sebagai penutup, saya mahu katakan bahawa bagi sesiapa yang beramal, kemudian menyelitkan salah satu daripada tiga perkara yang saya sebutkan tadi di sebelah amalnya, maka beringatlah bahawa kamu tidak akan puas.


Harta yang diimpikan tidak akan cukup sekalipun seisi dunia ini menjadi milik kamu. Populariti yang kamu kejarkan pula akan sentiasa jauh untuk seluruh manusia mengenalimu. Sedangkan pangkat agar kamu mendapat kekuasaan, apalah sangat berbanding kekuasaan Dia Yang Maha Kuasa.



Sebaliknya, jika hanya ikhlas kerana Allah yang menjadi tunjang setiap amalan, maka yakinlah bahawa perbuatan kamu sudah dikira, belumpun langkahan kaki pertama digerakkan.



Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk