Tips Blogger Terhebat
Saya andaikan anda telahpun membaca artikel saya yang lepas, artikel bertajuk Entri Ke 100 di sini (klik).
Sehubungan itu, sebagai bonus kerana telah menghasilkan 100 artikel, saya ingin menghadiahkan kepada diri saya dan para pembaca semua tentang artikel kali ini, Tips Blogger Terhebat.
Sebelum itu, saya jelaskan di sini bahawa sungguhpun tajuknya menyebutkan tentang blogger, tetapi artikel ini sebenarnya dihasilkan untuk semua kita, sama ada yang menghasilkan blog ataupun tidak.
Dan kenapa saya katakan tips terhebat? (klik)
Kerana tips ini saya tak pernah dengar mana-mana blogger yang sebut.
Jadi, tips apakah yang saya maksudkan?
Tips yang saya maksudkan adalah, para blogger, hasilkanlah artikel dengan hati yang ikhlas. Ikhlas berblog hanya kerana Allah.
Sebelum hasilkan blog, tetapkan niat berblog. Semasa mengisi blog, ingat apa tujuan kita berblog. Manakala selepas selesai, muhasabah semula bagaimana kita dalam mengikhlaskan hati untuk berblog.
Sesungguhnya dengan itu kamu akan mendapati inilah yang terhebat.
Ikhlas Sebagai Tips Terhebat?
Saya kata ya. Kerana pada saya hebat ini adalah apabila kita buat sesuatu, maka kita mencapai kemuncak kebahagiaan kepada apa yang kita lakukan.
Itulah yang saya fahami apabila memikirkan kata-kata Ibnu Taimiyah melalui ungkapan beliau bahawa kebahagiaan itu adalah apa yang ada di dalam hati, ketika mana seluruh dunia menyebutkan kekurangan kita, yakinlah bahawa itu sebenarnya langsung tidak akan mengubah bahagia yang kita rasakan di dalam hati kita sendiri.
Cuma tinggal persoalan di sini, benarkah dengan Ikhlas kerana Allah, kita bakal mendapat kemuncak kebahagiaan seperti yang saya sebutkan?
Saya mahu berikan jawapan, tetapi untuk penerangan yang lebih jelas, saya berkeputusan untuk menghasilkan sebuah lagi artikel lain supaya di situ nanti dapat saya sebutkan perbandingan yang nyata bahawa tanpa ikhlas ini, sesiapapun tidak akan mendapat kemuncak kepada kebahagiaan.
Namun, untuk pengukuhan, saya datangkan Firman Allah di bawah ini, mudah-mudahan ini memberikan kita pengajaran yang banyak.
Firman Allah di dalam surah An-Nisa’ Ayat 146
“Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan Ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.”
Sesungguhnya Al-Qur’an ini menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.