Yang terbaik turun dari langit 1
Artikel ini adalah kesinambungan daripada artikel yang lepas di sini (klik).
Taufiq secara umumnya dapat saya sebutkan adalah kemudahan daripada Allah S.W.T yang diberikan kepada hamba-Nya untuk hidup di muka bumi ini sebagai melaksanakan tuntutan kehidupan mereka yang sebenar, iaitu sebagai hamba Allah.
Lantaran hikmah penciptaan manusia adalah sebagai hamba kepada Allah, maka taufiq diangkat menjadi sebuah perkara yang sangat utama kerana melalui taufiqlah, seorang manusia akan dapat melaksanakan apa-apa suruhan Allah, juga pada masa yang sama meninggalkan larangan-Nya.
Berkenaan ini, Nabi kita Muhammad S.A.W pernah bersabda dengan sebuah hadis yang maksudnya,
“Sesungguhnya Allah S.W.T memberikan dunia kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga kepada sesiapa yang Dia tidak kehendaki. Dan (tetapi) Dia tidak memberikan iman melainkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” Hadis riwayat Imam Ahmad.
Melalui hadis ini, yang dapat kita fahami adalah semua manusia akan mendapat bahagiannya daripada dunia, tanpa mengira sesiapa pun(contohnya secara adat sesiapa yang rajin bekerja akan dapat keuntungan yang lebih). Tetapi, ini berbeza daripada iman bahawa apabila iman diberikan, tidaklah semua manusia akan mendapatnya, melainkan orang-orang yang Allah mahukan baginya keimanan.
Namun, kita tetap disuruh untuk memohon taufiq daripada Allah S.W.T kerana itulah tugas kita, hamba kepada Allah. Adapun dapat atau tidaknya taufiq ini, itu kita serahkan urusannya kembali kepada Allah.
Ingatlah bahawa Nabi kita Muhammad S.A.W sendiri berusaha untuk mendapatkan taufiq bagi bapa saudara baginda sehinggalah apabila beliau hampir menghembuskan nafas yang terakhir pun baginda tetap tidak berputus asa.
Jadikanlah tauladan yang baginda tunjukkan sebagai contoh untuk kita ikuti di dalam kehidupan ini bahawa taufiq daripada Allah ini harus dicari.