Entri ke 100
Alhamdulillah.
Ini adalah entri blog saya yang ke seratus.
Namun, banyakkah jika artikel-artikel yang saya terbitkan di blog ini mencecah ratusan artikel?
Bagi saya tidak banyak kerana untuk seorang blogger, ratusan artikel dalam masa hampir setahun belumlah banyak. Buktinya anda boleh lihat kepada mana-mana pemilik blog yang dikenali sebagai blogger, artikel mereka biasanya melebihi ratusan.
Namun, sedikit atau banyak, apabila kita timbangkannya dengan neraca agama, bilangan itu seakan-akan tidak memberi makna.
Mengapa?
gambar daripada Devianart.com
Kerana agama kita tidak pernah mensyaratkan bilangan dalam menghitung betapa berfaedahnya amalan seseorang. Iaitu faedah dalam erti kata amalan tersebut diterima dan dipandang sebagai kebajikan di sisi Allah.
Saya katakan berfaedah itu adalah apa yang diterima dan dipandang di sisi Allah kerana yang berkuasa untuk memberikan ganjaran hanyalah Allah. Bukannya rakan-rakan pembaca, bukannya sesiapa, sebaliknya hanyalah Allah dan tiada sesiapa selain-Nya.
Kalaulah bilangan yang menjadikan seseorang manusia itu mulia, Nabi Allah Nuh berapalah sangat bilangan pengikutnya. Tetapi, yang menjadikan seseorang itu mulia adalah apabila dia hidup dengan hikmah sebenar penciptaan kehidupannya.
Adapun jika ditanya apakah hikmah penciptaan manusia, maka saya sudahpun menerangkannya secara ringkas di sini (klik).
Yang Dikira Adalah Amalan Baik
Baik, jika bukan bilangan yang menjadi kayu ukur sebagai penentu aras kejayaan kita sebagai hamba-Nya, maka sukatan apakah yang sebenarnya harus digunakan untuk menyukat dan memuhasabah kehidupan kita ini?
Untuk menjawabnya, saya mengajak anda supaya kita merenung kepada Firman Allah di dalam kitab-Nya, iaitu pada ayat ke 2 dari Surah Al-Mulk. Firman Allah,
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) , untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”.
Jika diteliti, yang disebutkan oleh Allah melalui ayat ini adalah Allah mentakdirkan hidup dan matinya kita, untuk Dia menguji siapakah di antara kita yang baik amalannya, bukan siapa yang banyak amalannya.
Bermakna, amalan yang baik itulah yang sebenarnya yang diperlukan, biarpun tidak banyak.