orang Islam yang baik
Assalamualaikum.
Para da'i mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan; tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Maka dengan itu dia akan berada dalam amal-amal yang soleh dan azam kebaikan.
Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, mengindahkan kejatuhan dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.
Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku.
Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku.
Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan.
Memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid'ah atau kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah dan petunjuk.
Mu'az bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman.
Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya: إجلس بنا نؤمن ساعة (Marilah kita duduk untuk beriman sejenak).
Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya, "Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).
Lalu kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Kita menyeru para da'i untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat untuk ia beriman dan mengkaji diri, ilmu dan kesungguhannya.
Siri-siri ini ditulis untuk para du'at; mereka yang menunaikan solat dan merasa bangga megah dengan agama mereka; yang berakhlak dengan akhlak mukminin. Tidak ditujukan kepada yang lalai, lebih-lebih lagi yang menyeleweng.
Ini adalah kerana untuk menyelesaikan permasalahan dunia Islam hari ini, tidak perlu kepada berpindahnya bilangan yang besar dari mereka yang lalai dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang diperlukan ialah menyedarkan mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan kesungguhan mereka dan memperkenalkan kepada mereka jalan amal dan fiqh da'wah.
Masih ramai dari kalangan orang-orang mukmin, bilangan mereka sudah mencukupi untuk menegakkan kebaikan yang kita cita-citakan, tetapi dengan syarat apabila mereka mengenali tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), zuhud terhadap dunia, menjauhkan diri dari fitnah, sabar atas segala mehnah dan memahami seni memimpin ummat.
Oleh sebab itu, siri-siri ini tidak akan berbicara dengan orang yang masih mencampur-adukkan antara Islam dan lainnya. Tetapi ia hanya memadai untuk mengajak muslim, yang benar imannya, suci aqidahnya, merasa perit dan sedih dengan realiti ummat muslimin hari ini.