kehendak yang membahagiakan
Assalamualaikum.
Saya akan menghadapi peperiksaan pada hari Isnin depan. Satu-satunya subjek untuk semester pertama ini. Diharapkan Allah memberi saya kesempatan untuk menjadi hambaNya yang paling cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas sebagai hamba.
Tugas sebagai seorang hamba sememangnya satu tugas yang berat.
Bekerja tanpa ganjaran. Sebaliknya seorang hamba bekerja sema-mata kerana kehendak tuannya.
Malah, yang lebih dalam daripada itu, saya adalah hamba kepada tuhan, tuhan yang tiada tuhan selain Dia, iaitu Allah.
Tuhan tidak sama dengan tuan. Seberapa hebatpun seorang tuan, dia tidak ada apa-apa kelebihan jika semua orang bawahannya tidak ada. Misalannya seorang lelaki yang memiliki hamba, apabila hamba yang dimilikinya meninggal dunia, masih wujudkan kemuliaan dan kelebihannya?
Maka inilah antara perkara kecil yang membezakan tuan dengan tuhan. Kemuliaan tuhan wujud dan kewujudan kemuliaanNya itu kekal berkadar terus dengan kekalnya kewujudan zatNya.
Biarpun seluruh hambaNya mati, kemuliaan tuhan tidak berkurang. Hatta jika seorang atau semua dari kalangan hambaNya menjadi sangat hebat seperti nabi, kemuliaan yang tuhan miliki tetap tidak bertambah.
Dia sudah sempurna dengan sifat-sifat kemulianNya.
Apabila diperhalusi lagi, kita akan hampir merasai bahawa berkehendaknya tuhan supaya sekalian hamba mentaatiNya bukanlah kehendak dengan erti kata kehendak biasa yang kita fahami.
Yang biasa kita faham, seseorang akan berkehendak terhadap perkara yang diperlukannya, dan dia akan berasa kurang dengan kegagalannya menghadirkan perkara yang dikehendaki.
Sebaliknya, kehendak tuhan adalah amat berbeza. Berkehendaknya tuhan supaya kita menjadi hambaNya yang bertakwa, bukanlah kerana Dia menjadi kurang dengan kegagalan kita untuk bertakwa, tetapi kerana sayangnya tuhan kepada kita.
Dia mahu kita bahagia sebagai hambaNya.