wanita yang suci bersih
Assalamualaikum.
Apa khabar wahai para pembaca? Harapnya anda sihat jasmani dan rohani.
Hari ini, rata-rata manusia asyik sibuk dengan kesihatan dan keelokan jasad sehingga dia terlupa untuk membersihkan dan memelihara rohnya. Mukanya ingin kelihatan cantik dan kacak, tubuh badannya diusahakan menjadi ramping dan tegap, rumah, kereta, dan alat-alat bantu kehidupan yang lain pula semuanya diimpikan yang mewah-mewah.
Dia lupa bahawa dirinya itu terbina dengan dua unsur, roh dan jasad. Mungkin difikir jasadnya itu hidup sendiri, dan tidak akan mati-mati.
by ~Blakant
Bahkan lebih teruk lagi ada yang setiap hari hanya fikirkan untuk membinasakan manusia-manusia lain. Bak kata Ustaz Hasrizal, manusia sekarang bukan setakat fikir hari ini mahu makan apa, tetapi berfikir mahu makan siapa!
MasyaAllah. Semoga tuhan pelihara kita daripada sifat-sifat mazmumah yang terkeji ini.
Sebenarnya ada sebuah artikel tulisan seorang muslimah yang tulisan beliau ini buatkan saya tertarik. Er, baca elok-elok, tulisan beliau ini buatkan saya tertarik, anda jangan pandai-pandai nak buang perkataan 'tulisan' yang saya tulis tu. Nanti jadi kontroversi pula.
Katanya, perempuan yang suci adalah perempuan yang dijaga oleh Allah. Tidak sedikit pun Allah membiarkan hatinya disentuh oleh mana-mana lelaki. Andai hatinya bergelumang dengan cinta lelaki, maka di mana Allah untuk menjaganya?
Jika terjadi, katanya, seoalah-olah dia dilepaskan oleh Allah untuk dijaga oleh manusia lain yang mana pastinya manusia ini juga akan banyak mengecewakannya.
Ok, itu sedikit sedutan daripada tulisan beliau yang sempat saya kongsikan di sini. Panjang sangat untuk tulis semuanya.
Cuma, hampir di akhir karangannya, gadis ini berpesan dengan katanya yang seperti berikut;
"Mengapa masih ragu-ragu?? kekuatan usah ditunggu tapi harus dicari dan dikumpulkan sendiri.. Hargailah di atas kesempatan yang Allah berikan. Masih banyak ruang utk berubah.."
"sebesar besar dosa adalah dosa yang dilakukan ketika rasa berdosa melakukannya.."
Sekian, muhasabah untuk kali ini. Kalau yang baca ini lelaki, anda pandai-pandailah terjemahkan ayat-ayat ini supaya menjadi bersesuaian dengan keadaan anda.
Nasihat saya, anda bukan Tuhan untuk menghukum sesiapa hatta diri anda sendiri. Tugas anda adalah mematuhi arahan-arahanNya, bukan meletakkan kedudukan kepada sesiapa dari kalangan hamba-hambaNya.
Saya mendoakan anda semua, termasuk diri saya sendiri sentiasa dipelihara oleh Allah, dan tidak Dia biarkan kita sendirian walau untuk kadar yang lebih singkat dari sebuah kelipan mata.