bebaskan diri untuk ikhlas
Assalamualaikum.
Saya masih ingat lagi beberapa bulan lepas ketika menulis artikel berkenaan usia saya yang sudah menjangkau 21 tahun, seorang pembaca memberi komen meminta saya menulis tentang keikhlasan dalam bekerja.
Sayangnya komen itu tidak dapat ditayangkan semula akibat masalah teknikal yang tidak dapat saya selesaikan.
Sebenarnya saya pernah menulis tentang ikhlas di dalam artikel blog jadi mangsa, tetapi tidak ada masalah jika kita masih berkongsi tentang tajuk yang sama, kerana perkongsian ini mungkin dari sudut yang berlainan.
Baiklah.
Sebenarnya orang ikhlas itu bebas. Selagi tidak bebas, maka itu maknanya kita belum ikhlas. Ah, mungkin ini agak berlainan bunyinya sebelum anda faham bebas yang saya maksudkan.
Bebas yang saya maksudkan adalah dengan kita melakukan sesuatu pekerjaan tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada sesiapa lagi.
Ya, saya tidak nafikan kita bekerja dan melakukan apa-apa amalan dengan mengharapkan sesuatu sebagai ganjaran. Tetapi untuk kita benar-benar merasakan keikhlasan, cuba sebentar untuk melupakan segala bayaran yang akan diterima.
Kita hanya perlu ikhlas dalam melakukan amalan kebaikan kerana tiada gunanya ikhlas dalam kejahatan. Sedangkan amalan kebaikan pastilah baik walaupun kita tidak mendapat apa-apa ganjaran material yang dapat dilihat.
Isi saya mudah. Apabila anda yakin pekerjaan anda itu adalah suatu yang baik dan tidak tercela, maka laksanakanlah pekerjaan tersebut dengan sebebas-bebasnya, tanpa terikat(maksudnya berharap) dengan gaji, pangkat, pujian, imbuhan atau apa-apa yang membawa maksud yang serupa.
Apabila anda bebas dan tidak lagi terikat dengan perkara-perkara yang menyesakkan ini, anda akan mula menyedari sinar keikhlasan yang semakin mendekat.
Sekadar ini yang dapat saya kongsikan. Untuk sebarang persoalan, bantahan atau penambahan, sila nyatakan respon anda terhadap perkongsian ini di dalam ruangan komen di bawah.