antara kesilapan terbesar dalam beribadat
“Hargai setiap perkara disekeliling enta”. Ahmad menulis kepada saya apabila saya meminta nasihatnya, melalui ‘Yahoo Messenger’.
“Di sekeliling ana?” saya menyoal bukannya kerana tidak faham makna bagi sekeliling saya, tetapi memohon cakna beliau bahawa kata sendi ‘di’, apabila digunakan untuk menunjukkan tempat, ‘di’ itu cantiknya dijarakkan.
“Ya, disekeliling enta.” Ulangnya.
Biarlah, melanggar nahu Melayu bukannya dosa, lainlah Al-Qur’an. Bisik hati saya.
“Gunakan pada jalan terbaik. Jangan melazimi rutin.” Dia menyambung. Kali ini otak saya gagal menelah makna.
“Melazimi rutin apa?” saya menyoal.
“Setiap hari enta ada rutin enta tersendiri. Tapi, berikan makna kepada setiap yang enta lakukan, setiap hari.”
Oh, barulah faham.
Maka, saya simpulkan bahawa saya memahami nasihatnya sebagai begini,
“Hayati setiap perkara yang kamu lakukan. Sesungguhnya bagi sebuah hidupan, apabila amalannya sudah menjadi rutin, maka di mana lagi nilainya ibadah?”
Bukankah Tuhan kita telah berfirman,
Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat.
(Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.
'Fatahallahu'alaik, ya Ahmad!'