motivasi kejayaan daripada Mufti Mesir
*artikel lama, diterbitkan untuk renungan bersama
Kita selalu bertanya kepada diri dan orang lain. Kita tanya: Minta berikan sedikit motivasi, jalan manakah yang paling dekat dengan kejayaan?
Tetapi jika anda bertanya kepada saya, maka saya ingin menyebut jawapan yang seperti ini:
Kita hidup adalah untuk mencari redha Allah SWT. Maka, kejayaan kita yang sebenar adalah apabila segala sesuatu yang kita lakukan adalah untuk mendapat redha Allah SWT.
Pada saya di sinilah letaknya motivasi kejayaan kita yang paling besar sebenarnya.
Motivasi yang meletakkan Tuhan sebagai batu asas akan menemui jalan kejayaan yang paling hebat, paling bermakna.
Selaklah sirah baginda nabi, lihatlah kepada para sahabat baginda, telitilah kisah hidup ulama-ulama kita yang terdahulu, yang mereka ini luar biasa bagus dan hebat sekali, kita akan dapati motivasi kejayan mereka adalah redha Sang Pencipta.
PESANAN DR. A’LI JUM’AH
Kerana itu, saya suka untuk sampaikan kepada semua satu petua yang disebut oleh Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah ketika kuliah beliau di Masjid Al-Azhar semalam(Rabu 24 Mac).
Kata beliau, setiap pagi ucapkanlah Allahu Maksudi, Wa Redha hu Matlubi (Allah tujuanku, dan redha-Nya lah yang kuharapkan).
Baca ini 7 kali setiap pagi, dan kita insyaAllah akan bergerak untuk menjadi manusia yang lebih baik hari itu.
Kata beliau lagi, pengulangan sebanyak tujuh kali ini sebagai kita memperkuatkan keinginan kita.
Penegasan bahawa kita sememangnya hidup atas tujuan menjadi hamba Allah dan dalam hidup kita, yang kita cari hanyalah redha-Nya.
Maka, pasakkan di dalam jiwa, kita adalah hamba-Nya.
“Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” Surah At-Taubah ayat 72.