persediaan menghadapi bulan puasa Ramadhan
Assalamualaikum.
Telah berlalu beberapa hari, minggu dan bulan. Sedar ataupun tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan dan rahmat daripada Allah. Bagaimana persediaan kita hari-hari yang berlalu ini?
Seluruh dunia bergema dengan doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan(ya Allah, sampaikanlah kami ke Bulan Ramadhan) . Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.
Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Allahumma Ballighna Ramadhan, merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang salih bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.
Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.