pengumuman


anda semua dijemput untuk membaca dan memahami artikel 15 tips blogging terbaik yang dihasilkan daripada himpunan 15 artikel-artikel tip blog yang ringkas di blog saya ini. klik sini, 15 tips blogging terbaik untuk dimanfaatkan

baca juga lelaki ini masih bersabar walaupun badan dibakar untuk renungan bersama
gravatar

Kelebihan bulan syaaban & amalan malam nisfu syaaban

Assalamualaikum.


Kelebihan bulan syaaban & amalan malam nisfu syaaban


updatePersoalan mengenai adakah malam nisfu Syaaban mempunyai kelebihan tertentu dan adakah terdapat larangan untuk menghidupkan malam tersebut merupakan perkara khilaf di kalangan para ulama’. Namun begitu khilaf yang berlaku bukanlah untuk menimbulkan kepada perpecahan umat Islam. 


Mengenai persoalan di atas, MANHAL PMRAM membawa fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir yang menyatakan harus menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana malam tersebut mempunyai kelebihan yang istimewa. Hujah-hujah yang diberikan dalam fatwa beliau ialah :


1-   Terdapat hadis Nabi SAW yang menerangkan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya ialah hadis yang Nabi SAW bersabda yang bermaksud :




“Apabila tiba malam nisfu Syaaban maka hidupkanlah malam tersebut dan berpuasalah di siangnya, maka sesungguhnya (hari tersebut) Allah SWT turun (membuka seluas-luas pintu rahmat) ke langit dunia apabila tenggelam matahari (malam nisfu Syaaban) sehingga terbit fajar (keesokkan) seraya berkata : Ketahuilah sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku maka Aku akan memberikan keampunan baginya, sesiapa yang memohon rezeki kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya rezeki dan sesiapa yang memohon kesihatan (kesembuhan) kepada-Ku akan aku berikannya kesembuhan”  Hadis Riwayat Ibnu Majah



2-   Pensyariatan menghidupkan (hukumnya harus) malam nisfu Syaaban adalah berdasarkan kepada amalan para salafus soleh bahkan ia merupakan pendapat majoriti ulama’ dan ia dilakukan di Negara-negara Islam. Antaranya ialah pendapat Imam As-Syafie yang dinyatakan dalam kitab Al-Um (jilid pertama, m/s 264, cetakan Dar Al-Fikr) iaitu : terdapat 5 malam yang dimakbulkan doa iaitu malam Jumaat, malam Eidul Adha, malam Eidul Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.


3-   Berkata Imam Al-Fakihi (wafat pada tahun 272 H) di dalam kitabnya yang berjudul “ Akhbar Makkah Fi Qadimi Ad-Dahr Wa Hadisihi” (jilid ke-3, m/s 84, cetakan Dar Al-Hadhr) : antara amalan dan ijtihad penduduk Mekah pada malam nisfu Syaaban disebabkan kelebihan yang terdapat pada malam tersebut ialah mereka samada lelaki dan wanita akan keluar menuju ke masjid, mereka akan solat, melakukan tawaf dan menghidupkan malam tersebut dengan membaca Al-Quran sehingga khatam di dalam Masjid Al-Haram sehinggalah waktu Subuh dan mereka juga melakukan ibadah solat.


4-   Berkata Syeikh Zainuddin bin Nujaim Al-Hanafi (ulama’ besar Hanafi) dalam kitab yang berjudul “Al-Bahr Ar-Raiq” (jilid ke-2, m/s 56 cetakan Dar Al-Makrifat) : antara perbuatan sunat ialah dengan menghidupkan 10 malam bulan Ramadhan, dua malam Raya, malam kesepuluh Zul-Hijjah dan malam nisfu Syaaban, sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis mengenainya (kelebihan menghidupkan malam-malam tersebut).


5-   Syeikh Ibnu Taimiyah Al-Hanbali sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Al-Fatawa Al-Kubra (jilid ke-5, m/s 344, cetakan Dar Al-Kutub Al-Ilmiah) : Adapaun pada malam nisfu Syaaban tersebut mempunyai kelebihan, dan para salafus soleh melakukan ibadah solat pada malam tersebut (dengan erti kata menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan melakukan ibadah).


6-   Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali menyatakan di dalam kitabnya yang berjudul “Latoif Al-Ma’arif  Fima Al-Mawasim Al-‘Am Min Al-Wazoif” (m/s 263, cetakan Dar Ibnu Kathir) : Ulama Syam berbeza pendapat dalam menyatakan sifat atau bentuk menghidupkan malam (yang mempunyai kelebihan seperti malam nisfu Syaaban) kepada 2 pandangan :


1)    Harus menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan) secara berjemaah iaitu beramai-ramai di masjid. Dan ia bukan termasuk dalam perkara bid’ah (iaitu bid’ah yang terlarang).


2)    Makruh menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan) secara beramai-ramai di masjid seperti solat dan zikir, namun harus iaitu tidak makruh jika melakukan secara individu. Ini merupakan pendapat Imam l-Auza’i.


Maka berdasarkan kepada perselisihan pendapat di atas, dapat dilihat bahawa ulama’ sepakat bahawa disyariatkan iaitu harus serta sunat menghidupkan malam-malam (yang tertentu yang mempunyai kelebihan), namun mereka hanya berbeza mengenai cara menghidupkannya samada secara jemaah atau sendiri, dan perbezaan yang berlaku tersebut hanya melibatkan hukum makruh, tidak sampai ke tahap yang haram. Namun yang lebih tepat ialah harus dan tidak makruh kerana suruhan berbentuk galakan menghidupkan malam-malam tersebut merupakan suruhan yang berbentuk mutlak iaitu tidak diperincikan cara bagaimana ia termasuk dalam apa jua jenis ibadah yang disyariatkan. Justeru apabila ia dilakukan secara individu mahupun berjemaah maka ia adalah satu perbuatan yang baik dan elok.


Sehubungan itu, berkenaan dengan fadhilat malam nisfu Syaaban serta menghidupkannya dengan ibadah-ibadah merupakan khilaf ulama’. Justeru MANHAL PMRAM membawakan terjemahan daripada fatwa Syeikh Ali Jumaah yang menyatakan terdapat pandangan ulama’ yang menyatakan hukumnya adalah harus. Maka bagi sesiapa yang ingin menghidupkan malam nisfu Syaaban terdapat hujah-hujah yang mengharuskan. Manakala bagi pihak yang tidak mahu menghidupkan malam-malam tersebut termasuk malam nisfu Syaaban maka ia terpulang kerana hukum adalah harus, bukan wajib. Bagi mereka yang melakukan dapat pahala sunat, dan yang tidak mahu melakukan tidak berdosa. Ia merupakan khilaf pada perkara cabang. Selaku umat Islam, kita perlu memahami adab berkhilaf dan tidak menjadikan khilaf yang berlaku sebagai perpecahan. Jagalah kesatuan umat Islam, dan beramallah dengan keyakinan berdasarkan hujah-hujah yang jelas, bukan hanya taklid tanpa pengetahuan.


Wallahu a’lam


Terjemahan dan olahan oleh :


Muhamad Zuhaili bin Saiman


Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012


**Terjemahan dan olahan dari Majalah Al-Azhar, keluaran Bulan Syaaban 1433 H / Julai 2012, m/s 1834-1835



sumber : www.manhal.pmram.org/2012/06/menghidupkan-malam-nisfu-syaaban.html

Kelebihan bulan syaaban & amalan malam nisfu syaaban

Twitter
Facebook

kesejahteraan ke atas orang-orang yang mengikut jalan petunjuk